Pusat kumpul kuih tradisional bakal diwujudkan

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah pusat pengumpulan, jualan dan pengedaran pelbagai jenis kuih tradisional daerah Kerian di sini bagi memenuhi permintaan pengemar kuih tersebut dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata pusat itu akan menggunakan bangunan sedia ada iaitu K-Edar yang telah dijadikan sebagai pusat sehenti dan pemprosesan produk kuih tradisi di daerah Kerian sejak 2009.

”Sebuah jawatankuasa dianggotai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Majlis Daerah Kerian akan berbincang dengan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kuih tradisional sebelum pusat tersebut dibuka dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat K-Edar di sini hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata banyak permintaan diterima daripada pengemar kuih tradisional, antaranya kuih kalakatar (bingka kelapa muda), balungan ayam, wadai keping dan beberapa lagi kuih tradisional.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol berkata pusat itu kelak akan mewujudkan mentor untuk melatih mereka yang mahu memajukan produk tempatan.

Menurut beliau, K-Edar kini mempunyai empat premis dengan empat pengusaha yang menjalankan perusahaan seperti sos cili dan sos pencicah, kuih peneram dan karipap mini, kek, roti dan coklat serta rempeyek mini.

Jelasnya, sehingga kini, terdapat 60 pengusaha IKS sedang menjalankan pelbagai produk keluaran tempatan di sekitar Kerian.

Dalam perkembangan lain. Razman berkata sebuah bengkel membaik pulih sampan berharga RM100,000 akan dibina di Kuala Bagan Tiang, di sini yang antara lain membabitkan pembinaan tanjakan bagi memudahkan proses menarik sampan dari jeti ke bengkel.

“Saya tidak mahu projek itu menjadi projek gajah putih. Sekarang ini, bengkel sedia ada menggunakan kaedah tradisonal untuk menarik sampah yang rosak untuk dibaik pulih,” katanya menambah sehingga kini terdapat 200 sampan digunakan nelayan di kawasan Kuala Bagan Tiang. – BERNAMA

- Advertisement -