Pengarah P’raya Ulamak PAS Kedah beransur pulih

KUALA KEDAH: Keadaan kesihatan Pengarah Pilihan raya Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Mohamad Fauzi Hussain kini semakin baik biarpun terpaksa dibantu untuk bergerak.

Menurut isterinya Ustazah Hashimah Waie, suaminya tidak dapat bergerak banyak dan perlu dibantu sepenuhnya untuk ke tandas dan mengambil wuduk.

“Anak-anak kena bantu dia untuk bangun ke tandas, ambil wuduk dan solat,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kuala Kangkong semalam.

Sebelum itu beliau menerima kunjungan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pendidikan Insan, Pembasmi Kemiskinan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato’ Siti Ashah Ghazali.

Advertisement

Hadir sama pada lawatan berkenaan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah Ustaz Rodhi Abd Rahman dan Naib Ketua Dewan Pemuda negeri Ustaz Aizat Zakaria.

Sebelum ini, bekas pengasas Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) Telok Bagan itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar kerana masalah jantung.

Kemudian beliau dipindah ke Hospital Besar, Pulau Pinang bagi menjalani pembedahan jantung 21 Februari dan dibenarkan pulang 27 Februari lepas.

“Doakan saya agar segera sembuh. Nanti boleh sambung semula berjuang,” kata beliau yang masih bersemangat.

Fauzi yang turut mengendalikan Mahaad Tahfiz As-Solehah bersebelahan rumahnya, perlu menjalani rawatan susulan. – HARAKAHDAILY 5/3/2021