Penang FC SIAP sedia buru tiga mata esok

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Pasukan Penang FC kini telah bersiap sedia untuk memburu tiga mata dalam perlawanan pembukaan menentang Kuala Lumpur dalam kempen Liga Super 2021 di Stadium Bandaraya, esok.

Ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang, Toma Trucha berkata bagaimanapun, beliau dan pasukan tetap mengambil pendekatan berjaga-jaga kerana sebarang kemungkinan boleh terjadi ketika perlawanan nanti.

“Setiap pasukan mengimpikan untuk mendapat tiga mata pada setiap perlawanan, namun kami perlu berjaga-jaga memandangkan pasukan Penang FC adalah pendatang baharu dalam liga (Super) untuk musim ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata dua minggu sebelum perlawanan bermula, juara Liga Premier 2020 itu telah menjalani latihan secara komprehensif dan berharap pemain dapat mengekalkan momentum dan tahap stamina sepanjang menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Sementara itu, pada majlis pelancaran jersi rasmi Penang FC semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pasukan itu kini diletakkan di bawah urus tadbir Penang Football Club Sdn Bhd (PFC SB) yang telah didaftarkan pada 21 Sept tahun lepas.

“Kerajaan negeri telah memutuskan supaya PFC SB diletakkan sebagai anak syarikat (GLC) di bawah Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) bagi melicinkan proses peralihan tadbir urus Penang FC serta memastikan kesinambungan pentadbiran syarikat yang memerlukan pemacuan daya gerak untuk memajukan sukan bola sepak di Pulau Pinang,” katanya.

Pada majlis itu juga, Chow mengumumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Soon Lip Chee sebagai Pengerusi PFC SB.

“Memandangkan Penang FC adalah antara pendatang baharu dalam saingan Liga Super 2021, sasaran yang ditetapkan pada ketika ini adalah untuk berada dalam kelompok enam pasukan terbaik.

“Malah, untuk membantu PFC SB maju ke hadapan dan memastikan semua urusan dilaksanakan berkonsepkan amalan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT), maka, urusan pelantikan seorang Pengurus Am dan Operasi serta Eksekutif Kewangan dan Akaun akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan lantikan dijangka dapat dibuat pada April 2021,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -