PAS istiqamah agenda memupuk perpaduan ummah

Gambar hiasan
- Advertisement -

PERPECAHAN dalam kalangan umat Islam sudah tidak lagi menjadi pilihan buat kita pada hari ini. Ini kerana perpecahan adalah satu kemenangan kepada seluruh musuh Islam dari segenap sudut sama ada pada nafsu, syaitan dan manusia yang berdengki.

Memberikan kemenangan mudah kepada musuh hanya melalui perpecahan umat Islam sebelum bertempur dengan musuh adalah satu kerugian dan malang yang terlalu perit untuk ditanggung oleh umat Islam.

Apa pilihan yang ada bagi umat Islam? Tiada. Ia kerana, satu-satunya kekuatan dan kesembuhan kepada perpecahan ialah perpaduan. Perpaduan itu adalah prinsip ajaran Islam walaupun ia bukanlah aspek aqidah yang merosakkan iman, tetapi asas iman adalah de facto kepada keperluan untuk perpaduan.

- Advertisement -

Menyatukan umat Islam adalah tugas yang amat sukar dan penuh dengan ranjau berduri. Bukankah kita pernah diingatkan oleh Baginda Nabi SAW dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.,

للمؤمِنِ أربَعَةُ أعدَاءِ : مؤمِنٌ يَحْسُدُهُ ، ومنافِقٌ يُبْغِضُهُ ، وشيطانٌ يُضِلُّهُ ، وكافِرٌ يقاتِلُهُ

Maksudnya: “Bagi orang beriman itu memilki 4 musuh. Iaitu orang beriman yang berdengki-dengkian, munafik yang sentiasa bermuka-muka, syaitan yang menyesatkannya dan orang kafir yang memeranginya..” (Suyuti, Al Jamie Al Soghir 7334)

Najhan

Tugas perpaduan ini telah dijangkakan pasti menghadapi kesusahan dan serangan bertubi-tubi. Golongan musuh perpaduan tidak pernah memejamkan mata mereka yang menanti ruang dan titik kosong dan lompong yang masih wujud dalam umat Islam yang pelbagai latar belakang dan sejarah tersendiri, sama ada kesilapan dosa yang lalu, kelemahan pada ilmu, kelemahan pada iman dan juga amalan.

Umat Islam selama ini telah berpecah sehingga sekecil-kecil bahagian. Daripada perpecahan disebabkan persempadanan negeri dan bangsa yang dilakar oleh penjajah memfaraidkan tanah umat Islam, kepada perpecahan antara mazhab aqidah, perpecahan antara mazhab muktabar sehinggalah perpecahan sesama dalam mazhab yang sama. Begitulah perancangan dan gerak kerja mereka untuk melihat kegagalan umat untuk bersatu padu.

Bukankah sejarah telah mengajar kita, tidak hanya kita mengetahuinya menerusi cerita-cerita yang disebarkan turun temurun, malah sejarah yang ditulis berdasarkan fakta sebenar memberitahu kita bahawa usaha memecahkan umat Islam ini adalah perancangan licik dan jahat musuh Islam? Bukankah kita juga melihat keburukan demi keburukan yang berlaku dihadapan mata kita bagaimana perpecahan umat Islam itu amat merugikan kita semua? Musuh Islam meratah kita dengan penuh pelahap, merobek-robek dan mensiat-siat kulit dan daging kita sehingga ke tulang. Bagaimana ganasnya mereka memporak-perandakan kita tanpa melihat kita siapa yang alim atau jahil, siapa yang kuat beribadah atau ahli maksiat, siapa yang berpegang teguh dengan Islam atau tidak, mereka mengganasi kita semua tanpa memilih. Itulah fitnah bala ketika Allah menjanjikan dalam Al Quran bahawa tiada yang terkecuali apabila bala melanda.

Jika dilihat perpecahan antara mazhab, pegangan keagamaan, sempadan bangsa dan daerah serta suku dalam kalangan musuh Islam adalah lebih dahsyat berbanding Islam. Tetapi ketika mereka berdepan dengan usaha perpaduan umat Islam, perpecahan mereka yang dahsyat itu bertukar menjadi satu, ia hanyalah kerana untuk berdepan Islam dan umatnya.

Keperitan dan sempitnya perasan dan hati kita ketika era pemerintahan lalu adalah bukti nyata betapa perlunya umat Islam bersatu padu walaupun kita memiliki sejuta perbezaan sekalipun. Mereka asalnya bergerak dalam gelap ketika kita berkuasa dan terus bergerak secara terang ketika kita berpecah dengan pelbagai usaha untuk mengorek Islam dan asasnya negara ini daripada bawah sehingga ke atas.

Perbezaan yang ada pada kita samada pada pendapat, pegangan, sikap peribadi, tahap pendidikan, amalan, tarap ekonomi dan sebagainya adalah tanda keunikan ciptaan Allah dan ia masih boleh disatukan atas nama Muslim itu adalah bersaudara. Kita masih cintakan agama kita walaupun selemah-lemah iman di kalangan kita, kita masih mengadap kiblat yang sama dan merujuk Al Quran yang sama serta berpegang ajaran Nabi SAW yang sama.

Justeru, PAS melihat kelebihan ini dan bukannya melihat kekurangan yang banyak itu. Kelebihan inilah menjadi titik tolak keyakinan dan istiaqmahnya PAS untuk terus menyeru, mengajak dan memupuk perpaduan umat Islam agar terus istiqamah dengan perpaduan Islam. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

Penulis adalah Pengarah Jabatan Pilihan raya Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

- Advertisement -