Pala’u: DBKK bertindak atas dasar kemanusiaan

Foto daripada Facebook Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu operasi bersepadu ‘Ops Bangau’ yang diketuai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Imigresen telah diadakan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, semalam.

Berikutan dengan kehadiran masyarakat Pala’u seperti yang terdapat di media sosial baru-baru ini, DBKK telah bertindak atas dasar kemanusiaan untuk menempatkan mereka sehingga diambil alih oleh agensi berkaitan.

DBKK dalam satu hantaran di Facebooknya memaklumkan, operasi yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu telah diadakan di sekitar kawasan Sembulan dan Inanam akan berterusan sehingga 7 Mac ini.

- Advertisement -

Tambahnya, warga Pala’u itu akan dikumpul dan disaring Covid-19 sebelum dihantar ke Depo Imigresen untuk tindakan pihak tersebut selanjutnya.

“Dalam tempoh pengasingan ini, warga pelauh akan ditempatkan di penempatan sementara bagi menunggu keputusan saringan Covid-19,” ujar kenyataan DBKK itu.

Sehubungan itu, DBKK mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada agensi RELA dan Jabatan Imigresen yang telah bersama-sama dalam ops itu yang melibatkan seramai 75 orang keseluruhannya.

Foto daripada Facebook Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

Menurut DBKK lagi, setakat ini, seramai 132 orang telah berjaya dikumpulkan yang meliputi 39 orang dewasa lelaki, 38 orang dewasa perempuan, 17 orang kanak-kanak lelaki dan 22 orang kanak-kanak perempuan manakala 13 orang bayi.

Isu kumpulan etnik Pala’u yang bergelandangan sekitar Sembulan dan Inanam tular di laman sosial baru-baru ini apabila dilaporkan mereka datang ke bandar raya Kota Kinabalu dan membuat penempatan haram sekitar kawasan itu selain menjalankan kegiatan meminta sedekah.

Sementara itu, Bernama dalam satu rencana bulan lepas memaparkan kumpulan etnik Pala’u terutama kanak-kanak bergelandangan juga meminta sedekah sekitar Kota Kinabalu mendedahkan mereka kepada Covid-19 dan merisaukan penduduk sekitar kerana kumpulan itu boleh menjadi penyebar pandemik tersebut. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -