Malaysia tingkat hubungan dua hala Arab Saudi, UAE

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima jemputan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi daripada Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sebagai Penjaga Dua Masjid Suci pada April 2020.

Perdana Menteri menjadi ketua kerajaan yang pertama dijemput Raja Salman Abdulaziz Al-Saud susulan dari Persidangan Al-Ula pada 5 Januari lepas.

Menurut Wisma Putera hubungan dua hala antara Malaysia dengan Arab Saudi merangkumi spektrum kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan, hal ehwal islam, pendidikan dan hubungan sesama manusia.

Kedua-dua negara sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan hubungan sedia ada ke tahap yang lebih komprehensif dan strategik.

Kata kenyataan tersebut lawatan itu turut memberi peluang menjalin peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang seperti teknologi dan inovasi, serta kerjasama dalam bidang tenaga.

- Advertisement -

Lawatan rasmi ke Arab Saudi akan diadakan pada 6 hingga 9 Mac, manakala 9 hingga 11 Mac ke United Arab Emirates (UAE).

Malah lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama Perdana Menteri ke Arab Saudi dan UAE sejak dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020.

Wisma Putra memberitahu lawatan Pendana Menteri turut mencerminkan kepentingan dalam hubungannya dengan Arab Saudi, sebagai salah satu rakan terpenting di Timur Tengah.

Sebagai sebuah negara Muslim yang moden dan progresif, kedua-dua negara berkongsi kepentingan bersama dalam meningkatkan lagi hubungan ke tahap yang lebih tinggi untuk kepentingan rakyat.

Pada kunjungan tersebut dijangka diwujudkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (HLSC) di peringkat Menteri Luar Negeri sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala.

HLSC akan membuka ruang kepada perundingan berkala di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, isu-isu politik, keselamatan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca Covid-19, urusan Haji dan Umrah, keselamatan makanan dan perdagangan minyak kelapa sawit.

“Memacu kerjasama dalam bidang sains dan teknologi yang akan menyumbang kepada kepentingan strategik dan ekonomi kedua-dua negara.

“Ini termasuk cadangan penubuhan Pusat Inovasi Teknikal Malaysia–Arab Saudi yang akan menjadi platform bagi menggalakkan kolaborasi di antara kedua-dua negara dalam kerjasama pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan dan Revolusi Industri Keempat,” katanya.

Kerjasama juga diberi tumpuan dalam bidang haji dan umrah dengan pemeteraian inisiatif Mecca Road Service yang akan memudahkan proses pra-pelepasan ibadah haji dan umrah bagi Jemaah Malaysia.

Turut diberi perhatian meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk sektor minyak dan gas, serta tenaga boleh diperbaharui.

Ia juga termasuk kerjasama dalam bidang teknologi-teknologi baru seperti hidrogen, tenaga angin, dan penangkapan karbon.

Arab Saudi merupakan negara penyumbang alatan perubatan Covid-19 terbesar kepada Malaysia semasa permulaan pandemik.

Malaysia turut berpeluang meneroka pasaran baru eksport kelapa sawit di Arab Saudi, serta rantau Timur Tengah dan Afrika.

Mengukuhkan kerjasama dalam industri halal termasuklah usahasama di antara badan persijilan halal bagi kedua-dua negara.

Di Arab Saudi Perdana Menteri akan mengerjakan umrah di Makkah, diikuti ziarah di Madinah pada 6 hingga 8 Mac atas jemputan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Perkongsian strategik Malaysia-UAE

Wisma Putra juga berkata, lawatan Perdana Menteri ke UAE memperlihatkan hubungan yang erat, kukuh dan perkongsian strategik antara Malaysia dan UAE dalam bidang-bidang berkepentingan bersama.

Ia juga bakal memacu usaha-usaha dalam meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan UAE selaku rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah.

UAE merupakan hab perdagangan dan kewangan antarabangsa menjadikan UAE sebagai rakan yang penting bagi Malaysia untuk meneroka pasaran baru.

Manakala Malaysia merupakan negara pintu masuk yang penting bagi produk dan perkhidmatan dari UAE ke Asia Tenggara.

Menurut kenyataan tersebut lawatan terbabit akan menjadi pemangkin kepada daya tahan dan pertumbuhan, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan keselamatan makanan, kesihatan dan pertukaran diplomasi.

“Malaysia dan UAE akan membincang usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala sedia ada selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk kerjasama fasa pemulihan pasca pandemik menerusi teknologi, inovasi dan kerjasama ekonomi.

“Penubuhan Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa dengan matlamat utama untuk mewujudkan daya tahan dan keteguhan dalam rantaian bekalan makanan global,” ujarnya.

Malaysia dan UAE juga akan menandatangai Memorandum Persefahaman mengenai Penubuhan Kerjasama Diplomasi Makanan Malaysia-UAE.

Pengukuhan kerjasama dalam industri minyak dan gas melibatkan pemain-pemain industri dari Malaysia dan UAE dalam kegiatan perniagaan sedia ada, serta potensi peluang dalam sektor huluran dan hiliran.

Turut dibincang penubuhan Kursi Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).

Kursi tersebut diwujudkan bagi menggalakkan pemahaman dan hubungan di antara kedua-dua negara di samping mempromosikan konsep tadbir urus baik, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan toleransi antara agama seperti yang diterapkan Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan.

Mengukuhkan kerjasama dalam industri halal termasuklah usahasama badan persijilan halal bagi kedua-dua negara.

Bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama terutamanya penyelesaian damai bagi konflik serantau.

Perdana Menteri akan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamad bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE dan Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -