Lawatan PM ke Arab Saudi, UAE patuhi SOP

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 6 hingga 11 Mac ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.

Perkara itu dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Kementerian Kesihatan dan Pencegahan UAE.

Delegasi Malaysia juga perlu mengemukakan keputusan negatif ujian PCR dalam tempoh 120 jam (lima hari) dan 24 jam (satu hari) sebelum pertemuan-pertemuan rasmi di Arab Saudi.

Menurut Wisma Putra delegasi akan menggunakan pesawat khas dan bukan pesawat komersil bagi mewujudkan travel bubble ke Arab Saudi dan UAE.

- Advertisement -

Selain itu delegasi Malaysia perlu mengemukakan keputusan negatif ujian PCR dalam tempoh 48 jam (dua hari) sebelum ketibaan di UAE.

“Sejurus tiba di UAE delegasi Malaysia perlu menjalani ujian swab test dan akan dikuarantin di tempat penginapan yang ditetapkan sehingga menerima keputusan ujian.

“Delegasi Malaysia diwajibkan memakai pelitup muka setiap masa sepanjang berada di tempat-tempat yang ditetapkan semasa lawatan rasmi.

“Tidak akan ada sebarang kontak fizikal termasuk berjabat tangan, berpelukan atau bersentuhan sepanjang lawatan rasmi,” kata Wisma Putra dalam kenyataan, hari ini.

Delegasi Malaysia juga perlu menjalani kuarantin wajib sebaik tiba di tanah air seperti yang telah ditetapkan KKM.

Lawatan itu juga diadakan dengan jumlah delegasi yang kecil serta kepatuhan terhadap SOP pencegahan Covid-19.

Perdana Menteri akan hanya diiringi oleh delegasi kecil yang terdiri daripada Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dan pegawai-pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -