Islam agama rahmat: Bersifat ihsanlah terhadap haiwan

- Advertisement -

ISLAM merupakan agama rahmat seluruh alam yang mengajar umatnya untuk bersifat ihsan terhadap sesama makhluk termasuk haiwan. Islam juga mengharamkan sebarang bentuk kezaliman dan penganiayaan ke atas seluruh makhluk ciptaanNya sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan mahupun alam sekitar. Allah S.W.T berfirman melalui sabda Rasulullah S.A.W:

- Advertisement -

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُو

“Wahai hambaKu, Aku telah haramkan bagiku kezaliman dan Aku juga telah jadikannya haram dalam kalangan kamu. Maka janganlah kamu saling berbuat zalim.”


(Riwayat Imam Muslim)

Ketika mana Allah S.W.T menguji kita dengan ancaman COVID-19, isu-isu berkaitan kekejaman terhadap haiwan juga semakin menjadi-jadi di negara kita. Memetik laporan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang merekodkan sebanyak 278 kes kezaliman terhadap haiwan berlaku sejak tahun 2018 hingga 2020. Malahan, berdasarkan rekod tersebut sebanyak 111 kes penganiayaan terhadap anjing manakala 108 kes adalah kucing. Jumlah ini cukup mengejutkan apatah lagi kes penganiayaan haiwan yang tidak dilaporkan juga tinggi.

Islam agama yang sempurna turut menekankan konsep keadilan dan ihsan terhadap haiwan. Haiwan merupakan makhluk ciptaanNya yang saling berhubung kait dengan kehidupan seharian manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Ia menjadi sumber makanan, minuman, pakaian, hiburan dan kenderaan untuk segala urusan manusia. Oleh itu, dalam hubungan manusia dengan haiwan mempunyai hak yang wajib ditunaikan termasuk memberi makan dan menjaga kebajikan terhadap haiwan. Sekiranya hak tersebut diabaikan, manusia itu dianggap kejam dan akan mendapat dosa. Rasulullah S.A.W pernah bersabda mengingatkan kita bahawa:

“Ada seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing tanpa diberikan makanan dan minuman sehingga mati kelaparan, kalau ditinggalkan bebas dia akan mencari makanan sendiri dan menangkap serangga makanannya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Sekitar 50 tahun yang lalu, pelbagai gerakan peringkat global yang memperjuangkan hak asasi haiwan berikutan peningkatan kes penyeksaan terhadap haiwan. Di Malaysia, penguatkuasaan undang-undang bagi melindungi kebajikan haiwan telah lama wujud seperti Akta Binatang 1953 dan Akta Kebajikan Haiwan 2015. Mana-mana individu yang bukan sahaja mengabaikan makan dan minum haiwan tetapi juga bersikap zalim terhadap haiwan juga akan dikenakan hukuman denda dan penjara mengikut kesalahan kes jenayah terhadap haiwan yang dilakukan.

Walaupun undang-undang telah wujud bagi melindungi hak asasi haiwan, namun begitu tahap kesedaran masyarakat dalam penguatkuasaan perundangan mengenai jenayah haiwan begitu rendah. Perkara ini diluahkan sendiri DVS sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan segala peruntukan terutama dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015. Permasalahan ini merupakan cabaran yang dihadapi oleh negara kita dalam memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat berkaitan hak asasi terhadap haiwan.

Islam itu adil untuk semua termasuklah haiwan sekalipun. Nilai-nilai Islam yang mengajar umatnya untuk menyayangi dan melindungi haiwan perlu ditanam dalam jiwa masyarakat bermula di peringkat awal lagi. Dalam pada itu, pendidikan berhubung dengan hak asasi terhadap haiwan juga perlu diperluaskan di negara ini merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. 

Lain daripada itu, kempen pendidikan, kesedaran dan promosi kebajikan haiwan juga memerlukan kerjasama dan penglibatan semua pihak. Perkara ini juga termasuklah mempromosikan kebajikan haiwan secara meluas di media cetak dan elektronik seperti siaran di televisyen, radio dan lain-lain. Sementara itu, bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai tanggungjawab dan kepentingan menjaga kebajikan haiwan, kerajaan juga perlu memperkukuhkan hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi, agensi kerajaan dan sebagainya dari semasa ke semasa.

Sesungguhnya haiwan peliharaan mahupun ternakan adalah anugerah Allah S.W.T yang seharusnya dipertanggungjawabkan kepada tuannya. Kekejaman terhadap haiwan adalah satu fenomena yang semakin membimbangkan. Isu ini memerlukan lebih banyak kesedaran dan nilai-nilai Islam kepada masyarakat agar ia dapat dihentikan dengan segera.

“Islam Memperkukuh Perpaduan” 

YB HAJI WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -