Bagaimana Uthmaniyyah terheret ke kancah WW1

- Advertisement -

UTHMANIYYAH diheret ke kancah Perang Dunia Pertama yang berlangsung pada 1914-1918 agar bersama dengan blok Jerman. Dalam keadaan serba lemah, seeloknya Uthmaniyyah berkecuali kerana konflik utama yang berlaku asalnya adalah antara British, Perancis, Russia dan Jerman. 

Ada yang berpakat dalam gelap

Pembesar yang lahir dari rahim Ittihad wa Taraqi (CUP) bernama Tal’at Pasha & Enver Pasha berusaha mengheret Uthmaniyyah untuk segera menyertai peperangan bersama Jerman. Mereka berdua pun membuat perjanjian sulit dengan Jerman, kononnya sebagai mewakili Uthmaniyyah.

- Advertisement -

Kemudian Sultan Mehmed V Reshad bersetuju dengan penyertaan tersebut atas susunan naratif mereka berdua, lalu menerima bayaran yang lumayan dari Jerman. Dari tindakan itu, Uthmaniyyah yang sudah sedia lemah, terheret ke dalam WW1.

Rela menjadi benteng pihak lain

Dari sejarah ini, kita mempelajari terkadang berkecuali itu perlu. Apatah lagi jika pertembungan yang berlaku, asalnya tidak melibatkan kita. Selalunya sudah pasti ada pihak yang ingin menggunakan kita untuk dijadikan benteng demi kepentingan mereka. Dalam situasi tersebut, elok berkecuali.

Atas keghairahan politikus Uthmaniyyah yang mengira laba dari Jerman dan berminda sempit hanya mahu menumpang blok orang, akhirnya tidak pasal-pasal Uthmaniyyah berkongsi risiko apabila menyertai WW1 bersama Jerman. Lantas Uthmaniyyah menanggung kekalahan bersama Jerman.

Risiko

Setelah itu Jerman bangkit semula dan berdaya mencetuskan WW2. Sementara Uthmaniyyah pula telah lebur. Gambar di bawah adalah kartun satira politik Austria yang merupakan sekutu Jerman ketika itu. Kelihatan bagaimana Uthmaniyyah diimejkan hanya sebagai budak dari pandangan mereka. Tertulis ‘Wir halten durch!’ yang bermaksud ‘Kami jaga pakatan ini dan cuba bertahan hingga ke akhirnya’.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
5 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -