Apa yang sukar untuk penyatuan

nasrudin2
- Advertisement -

FIRMAN Allah SWT:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Berpegang teguhlah kamu dengan tali allah (Al-Quranul Karim) dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah olehmu akan nikmat Allah ke atas kamu, tatkala kamu dulunya saling bermusuhan maka Allah SWT telah menyatukan hati-hati kamu, maka dengan nikmat-Nya itu kamu bersaudara, sedang kamu berada di jurang api neraka, maka Ia (Allah) telah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah SWT menjelaskan kepada kamu tanda-tanda keagungan-Nya. Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk.” (Surah Aali Imran: 103)

Demikian nas dari penyata wahyu yang menjadi pekeliling buat seluruh umat manusia.

Allah menyuruh kita sebagai umat Islam agar bersatu dan kesatuan itu mesti diikat dengan tali yang kukuh. Sementara itu, tiada tali yang kukuh melainkan hanya ‘tali’ Allah SWT.

- Advertisement -

Mudahnya, Allah suka kita bersatu dan marah-Nya bukan kepalang kepada mereka yang berpecah dan menjadi ejen yang memecah belahkan kesatuan umat Islam.

Sebetulnya, tiada sebab untuk umat Islam berpecah, justeru selayaknya mereka menjadi umat yang kuat dan hebat. Sedang tiadalah kekuatan dan kehebatan melainkan umat Islam bersatu dan menghentikan persengketaan.

Firman Allah SWT:

‎وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu bersengketa, kelak kamu akan binasa dan hilang kekuatan dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran) sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah Al Anfaal: 46)

Sama ada NGO mahupun parti politik yang mewakili umat Islam wajar memiliki ‘meja bulat’ untuk mereka berbincang mencari persefahaman, meredakan ketegangan, mengelakkan perselisihan, menghilangkan keraguan, menambat persaudaraan dan memperkukuhkan kerjasama.

Asas ke arah penyatuan itu telah sedia wujud. Apalah yang sukar dan susah untuk menyatukannya. Hanya perlu lapang dada, bertolak ansur, singkir kepentingan diri serta fikir kepentingan ummah dan masa depan negara.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), pada bait pertama lagu rasminya telah menyeru “Bersatulah Wahai Kaum Muslimin”.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), juga meletakkan pada bait pertama lagu rasminya “Bersatu Kita Bersatu”.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia pula menjadikan seruan “Bersatu Untuk Malaysia Gemilang” sebagai bait kedua dalam lagu rasmi partinya.

Maksudnya, asas seruan ke arah penyatuan itu telah disuarakan oleh semua termasuk NGO-NGO Islam khasnya, saban ketika telah melantunkan seruan penyatuan ini melalui kongres rakyat, forum perpaduan ummah dan sebagainya.

Justeru itu, di manakah aral yang menyulitkan perpaduan ummah ini untuk menjadi satu realiti yang mapan dalam negara kita?

Atau kita masih terperangkap dalam propaganda golongan anti perpaduan?

Pastinya golongan ini yang paling gembira atas kegagalan umat Islam mencari titik temu dalam mengurus perbedaan dan pertikaian dalam kalangan mereka.

Mengusahakan perpaduan ummah ini memerlukan pengorbanan perasaan dan kepentingan. Tidak semua perkara yang kita mahu itu boleh dimiliki. Sebagaimana apa yang kita miliki itu bukanlah semua dari apa yang kita mahu.

Berjiwa besar dalam mendirikan sikap dan mengambil pendirian semasa menghadapi sesuatu masalah, sangat membantu ke arah persefahaman dan kerjasama yang erat.

Insya-Allah, jiwa besar seperti ini akan mengecilkan keegoan dan jurang sengketa antara umat Islam. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -