Umno pertahan kerajaan PN hingga PRU15

Datuk Seri Ahmad Maslan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno masih mempertahankan kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran Parlimen bagi penggal ke-14.

Bagaimanapun parti itu mengumumkan tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan berkata, sejak awal Umno sentiasa berpegang kepada pendirian memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik.

Katanya, kerjasama itu wajar dipertahan lebih lama dan efektif dengan berteras kejujuran dan keikhlasan demi menjaga kemaslahatan rakyat.

- Advertisement -

“Justeru keputusan tersebut dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya pada kenyataan di sini.

Menurutnya juga perjumpaan khas diadakan antara Umno, Bersatu dan PAS yang diwakili lima kepimpinan tertinggi pada 15 Februari lepas.

Kata beliau pada pertemuan tersebut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Umno membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan Bersatu.

Katanya, pendirian itu penting sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU ke-15.

“Bagi maksud tersebut Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) mengadakan mesyuarat pada 19 Februari lepas membincangkan lanjut hasrat Perdana Menteri tersebut.

“Keputusan Mesyuarat MKT sebulat suara bersetuju Presiden Umno mengutuskan surat kepada Presiden Bersatu bagi menyatakan keputusan Mesyuarat MKT sebagaimana yang diminta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -