Terengganu promosi kempen Jom Solat Berjemaah

Foto daripada Facebook Mohd Nor Hamzah.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mempromosikan kempen Jom Solat Berjemaah dalam usaha merancakkan lagi program Bulan Penghayatan Ibadat Solat peringkat negeri di Pasar Payang, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, kempen tersebut dihidupkan sempena bulan Rejab yang padanya diturunkan kewajipan solat, lapor TRDI.my.

“Kita mendekati peniaga-peniaga mempromosikan usaha yang digerakkan Rasulullah SAW dahulu iaitu solat berjemaah. Kita mahu peniaga di sini bukan sahaja menjual produk tetapi yang turut menerapkan budaya solat berjemaah apabila masuk waktu,” ujarnya selepas menyampaikan kira-kira 250 baju-T Jom Solat Berjemaah kepada para peniaga dan pengunjung Pasar Payang.

- Advertisement -

Yang turut serta pada program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS), Kamaruzzaman Abdullah, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.

Menurut beliau, bukan sahaja para peniaga malah kerajaan negeri mahu setiap pengunjung yang datang ke Terengganu juga terdidik dengan amalan mengerjakan solat secara berjemaah.

“Apabila semua lapisan masyarakat jaga ibadah dan amalan yang utama ini, kita akan membina masyarakat yang baik,” katanya yang juga Adun Bukit Payong.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah berbincang dengan Persatuan Pasar Kedai Payang dan Bazar Warisan bagi memakmurkan surau di situ dengan aktiviti-aktiviti ilmu yang bakal dikendalikan IMiTS dan DUAT.

“Solat berjemaah boleh dibuat di rumah, namun apabila ada ruang untuk solat di masjid di sebalik kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita disarankan memenuhkan masjid.

“Kerajaan negeri ambil tanggungjawab menyemarakkan kempen ini kerana inilah teras sebagai sebuah kerajaan sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT. Ia bukan sahaja tanggungjawab badan individu, ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO), tetapi kerajaan juga perlu ambil peranan.

“Kita juga akan cuba luaskan kempen ini ke semua daerah. Setakat ini kita pilih tempat yang kita anggap biasanya membawa kepada kita lalai untuk solat seperti pasar raya, pasar-pasar, padang bola dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -