Semarakkan keyakinan umat kepada dana syariah

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) berkeyakinan bahawa pertambahan agihan keuntungan Tabung Haji bagi tahun 2020 ini membuktikan kemampuan Tabung Haji dalam mengurus simpanan dan pelaburan umat Islam di Malaysia. Ianya juga akan menambah keyakinan umat Islam secara keseluruhannya terhadap Tabung Haji. 

Tabung Haji membuktikan kemampuannya bertahan sungguhpun mengharungi fasa amat mencabar sepanjang tahun lalu hingga kini akibat pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia. Biarpun pasaran ekonomi dunia terumbang ambing oleh ketidaktentuan ekonomi global, namun Tabung Haji tetap mencatat keuntungan.

Prestasi kewangan Tabung Haji yang kekal positif membolehkan agihan keuntungan diumumkan iaitu sebanyak 3.10 peratus buat kira-kira 9 juta pendeposit. Pengumuman ini tentu sekali amat melegakan setelah dana dan aset umat Islam ini telah terpalit dengan beberapa isu kontroversi sebelum ini yang sedikit sebanyak boleh menggugat keyakinan pendeposit terhadapnya.

- Advertisement -

Ternyata sebelum ini keadaan dilihat begitu mencemaskan apabila ianya seakan hampir tergadai dan berpindah milik sebelum sempat diselamatkan melalui beberapa urusniaga yang telah dijalankan. Pun begitu umat Islam negara ini khususnya para pendeposit adalah merupakan wira sebenarnya. Kepercayaan yang terus diberikan adalah dukungan untuk Tabung Haji terus memacu sebagai salah sebuah institusi kewangan Islam yang berjaya menjana simpanan umat Islam di Malaysia.

Ini sebagaimana diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bahawa jumlah deposit telah mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari 2021. Ia paras tertinggi dalam sejarah iaitu peningkatan tambahan simpanan sebanyak RM1.3 bilion yang semestinya satu rangsangan dan motivasi kepada Tabung Haji dan umat Islam.

Malah secara perbandingan, kadar agihan keuntungan tersebut sungguhpun tidak besar, tetapi meningkat berbanding tahun sebelumnya yang diumumkan pada 3.05 peratus. Agihan ini diumum melibatkan jumlah RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion bagi tahun sebelum itu menyerlahkan keutuhan dan kemampanan institusi TH.

PAS percaya keyakinan rakyat khususnya umat Islam kepada Tabung Haji ini harus dilihat oleh Kerajaan Perikatan Nasional sebagai isyarat untuk sektor ekonomi, pelaburan dan kewangan berasaskan syariah terus diperkasakan. Kempen untuk individu, kumpulan dan perniagaan mendepositkan ke unit trust syariah dan akaun syariah mesti dipergiatkan.

PAS juga berpandangan kesungguhan ini bukan sahaja perlu untuk menjana keuntungan tidak kurang lumayannya yang ditawarkan oleh dana syariah, tetapi juga menyelamatkan umat Islam daripada dosa besar riba yang dibenci oleh Allah. Kerajaan juga diseru untuk memindahkan akaun dan urusan milik kerajaan sepenuhnya ke kaunter syariah sebagai langkah permulaan seterusnya.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan 
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
4 Mac 2021 | 20 Rejab 1442 – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -