Selamatkah ibu hamil ambil vaksin?

- Advertisement -

RAMAI ibu hamil dan rancang untuk hamil bertanyakan berkaitan dengan vaksin COVID-19. Adakah mereka selamat untuk ambil vaksin Comirnaty yang sedang diberikan kepada barisan hadapan sekarang ini?

Menurut kenyataan beberapa badan yang berautoriti seperti – The Centers for Disease Control and Prevention (CDC), the American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), dan the Society for Maternal-Fetal Medicine(SMFM) bersetuju bahawa vaksin jenis mRNA itu perlu diberi peluang kepada ibu-ibu hamil dan juga menyusui bayi. 

- Advertisement -

Manfaat dari pencegahan yang diperolehi melalui vaksin jenis mRNA itu adalah lebih berbanding dengan risiko. Mereka yang berada di barisan hadapan memang berdepan dengan pesakit yang positif dan mempunyai risiko yang tinggi untuk turut juga dijangkiti oleh COVID-19 [1]. Begitu juga risiko kesan sampingan yang mungkin diperolehi setelah divaksinkan. Itupun kesan sampingan masih belum diketahui secara lanjut melalui kajian secara empirikal. Apa pun berbincanglah dengan doktor sebelum cucuk untuk lebih meyakinkan diri anda.

Di US vaksin jenis mRNA itu sudah pun diberi kepada lebih 10,000 ibu hamil dan tiada kesan sampingan serius pun berlaku ke atas mereka [2]. Dr Fauci menegaskan hasil penemuan itu dalam satu sidang media. Di sinilah memerlukan pertimbangan di antara risiko dan manfaat. Antara risiko dijangkiti COVID-19 atau mempunyai kesan samping vaksin COVID-19 berbanding manfaat yang diperolehi melalui vaksinasi.

Menurut laporan mingguan kematian Ibu hamil (MMWR) mendapati bahawa ibu hamil mempunyai risiko 3 kali ganda akan dimasukkan ke ICU akibat dari COVID-19. Lebih membimbangkan lagi, 70 peratus daripada mereka berisiko meninggal dunia berbanding dengan pesakit COVID yang lain [3].

Oleh yang demikian untuk penilaian risiko fasa pertama ke atas frontlinersrisk and benefit ini perlu diberitahu kepada mereka. Justeru mereka boleh memilih sama ada ingin vaksin ataupun tidak. Jika masih bimbang sayugia mengambil vaksin selepas daripada minggu yang ke-14 usia kandungan (Trimester pertama). Tetapi rugi lah peluang ini dan mungkin tempat anda akan digantikan dengan orang lain yang lebih memerlukan.

Bagi wanita yang merancang untuk mengandung dalam tempoh terdekat pun saya sarankan supaya mereka mengambil keputusan untuk merancang dahulu kehamilan anda. Ambillah dulu vaksin Comirnaty ini kerana peluang yang diberikan ini amat berharga. Jadikan ianya satu sejarah dalam kehidupan kita dan sejarah negara bahawa kita sama-sama bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian COVID-19. Akhirnya kita berganding bahu membentuk imuniti kelompok dalam negara melalui pengambilan vaksin COVID-19 secara beramai ramai. Apabila semua sudah selesai maka rancangkanlah kehamilan anda dalam hati yang tenang insya-Allah.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 4/3/2021

Rujukan:
[1] Ilona T. Goldfarb. Wondering about COVID-19 vaccines if you’re pregnant or breastfeeding? Havard Health Blog. February 25, 2021
[2] Kate Duffy. Fauci declares ‘no red flags’ from the 10,000 pregnant women in the US who have received a COVID-19 vaccine. The Business Insider New Online. February 4, 2021
[3] COVID-19 Reports CDC. Morbidity and Mortality Weekly Report (MMWR). Access online February 17, 2021.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -