Pinda Perlembagaan demi pertahan perundangan syariah

- Advertisement -

SEBAGAI seorang Legislatif dan seorang Muslim, saya bersependapat serta menyokong penuh tuntutan dan petisyen yang dibuat oleh sekumpulan peguam dan pengamal undang-undang, supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mempertahankan perundangan syariah di Malaysia.

Kerisauan kita bahawa penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarrak v Kerajaan Negeri Selangor & Anor, sekalipun dibuat atas pertimbangan dan kebijaksanaan para Yang Amat Arif dan Yang Arif-arif Hakim, tetapi dikhuatiri bakal membuka suatu ruang untuk lebih banyak peruntukan jenayah syariah di Malaysia dicabar di Mahkamah Sivil.

Keputusan penghakiman tersebut dilihat sebagai peluang kepada golongan Liberal untuk membuat lebih banyak litigasi strategik (strategic litigation) bagi Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, kerana tanpa disedari, ianya telah menyempitkan bidang kuasa negeri dalam menggubal Undang-undang Jenayah Syariah seperti termaktub dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Kerisauan ini berasas jika sekiranya Undang-undang Sivil selepas ini, secara tiba-tiba meminda Kanun Keseksaan dan membuang peruntukan kesalahan berkenaan persetubuhan luar tabii atau liwat. Pada masa yang sama, Badan Perundangan Negeri telahpun mengeluarkan peruntukan yang sama dari Enakmen Jenayah Syariah Negeri kerana tiada bidangkuasa dan Mahkamah Syariah telahpun hilang hak untuk mendakwa dan menghukum kesalahan tersebut. 

Maka pada waktu itu, tiada lagi mahkamah di Malaysia yang berbidang kuasa untuk mendakwa dan menghukum pelaku kesalahan ini. Ini sekali gus akan membenarkan perbuatan songsang dan tidak berakhlak ini bermaharajalela. Dan kita bimbang jika inilah strategi yang sedang disusun oleh golongan Liberal.

Tiada jalan lain yang boleh dilakukan bagi mempertahankan perundangan syariah, selain dari menggubal Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dengan mendefinisikan semula maksud ‘precepts of Islam’ (perintah agama Islam). Negeri harus diberikan kuasa menggubal peruntukan jenayah syariah sekalipun ia diperuntukkan di bawah Undang-undang Jenayah Sivil dalam Kanun Keseksaan, selagimana ianya merupakan kesalahan yang menyalahi perintah agama Islam. 

Ini penting bagi memastikan kedudukan dan kedaulatan perundangan syariah, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak dicabar dan diperlekeh oleh pihak-pihak yang membawa ideologi Liberalisme dan Sekularisme dalam negara ini. Justeru saya amat bersetuju dengan tuntutan ini dan menegaskan bahawa saya menyokong sepenuhnya agar pindaan ini dilaksanakan.

Dalam menghadapi isu ini, sekalung penghargaan dan terima kasih harus diucapkan kepada Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan atas ketegasannya menjunjung Undang-undang Syariah dalam kenyataan beliau minggu lepas. Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada kerajaan, melalui kenyataan YB Datuk Seri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YB Datuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas komitmen dalam mempertahankan serta memperkasa perundangan syariah di negara kita. 

Berdasarkan kenyataan mereka minggu lepas, saya juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil JAKIM, yang telah diberikan arahan untuk membincangkan isu ini, untuk segera bersidang bagi memastikan Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan serta seluruh peruntukan dalam Enakmen/Akta Kesalahan Jenayah Syariah Negeri terpelihara. 

Tiada jalan lain untuk menyelamatkan perundangan syariah yang telah dicabar, selain dari usaha bersungguh-sungguh semua pihak dalam memastikan keharmonian di antara Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri yang sedia ada.

Saya menyeru semua umat Islam, tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang supaya bersama menyokong petisyen sekumpulan peguam dan pengamal undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan ini. Kesatuan semua pihak diperlukan dalam memartabatkan perundangan syariah di Malaysia, supaya tidak diperlekeh dan direndahkan oleh pihak yang anti pelaksanaan syariat.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
4 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -