Patuhi SOP elak himpunan besar atau kecil

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan perlu pertahan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) biar pun rentas daerah dibenarkan bermula esok.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Zaini Husin berkata, usaha itu perlu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memandangkan tahap pematuhan rakyat masih lagi dianggap berkala.

Katanya kebimbangan terhadap peningkatan kes positif Covid-19 dirasai sejak dahulu sehingga sekarang.

- Advertisement -

“Saya percaya ekoran rentas daerah dibenarkan ditambah dengan pembukaan sekolah sedikit sebanyak akan merancakkan lagi pergerakan orang ramai.

“Apa yang penting pematuhan terhadap SOP, sekiranya rakyat dapat mematuhi segala SOP ditetapkan dan mengelak perhimpunan sama ada besar dan kecil.

“InsyaAllah ia wabak dapat diputuskan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan prihatin Covid-19 Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di Jabatan Kesihatan Cawangan Kawalan Penyakit hari ini.

Ujar beliau, walaupun suntikan vaksin telah bermula, ia tidak bermakna masyarakat dapat melonggarkan SOP yang ditetapkan.

Justeru itu beliau berharap semua anggota masyarakat perlu terjemahkan makna sebenar ‘Kita Jaga Kita’ melalui pematuhan SOP dan tanggungjawab kendiri memutuskan rantaian musuh nombor satu negara ini.

Kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah di semua negeri kecuali Sabah bermula 5 Mac ini selepas tiada lagi negeri berstatus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -