KANGAR: Biarpun Umno memutus tidak akan mengadakan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU), namun PAS tidak berputus asa membina muafakat ketiga-tiga parti.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sedia bekerjasama dengan semua pihak yang bersedia menyokong aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, rundingan bagi menyatukan Umno dan Bersatu masih berjalan sehingga sekarang.
“PAS sentiasa komited ke arah membina muafakat antara ketiga-tiga parti utama orang Melayu (PAS-Umno-Bersatu).
“Insya-Allah kita yakin akan mampu membina muafakat yang baik dan cuba untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang,” ujarnya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Perlis. (Foto atas)
Laman berita semalam melaporkan Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU 15 berikutan dikatakan desakan ahli-ahli Umno peringkat akar umbi.
Bagaimanapun surat mengenai perkara itu yang dihantar Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Bersatu dianggap bukan satu keperluan bagi bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa.
Tuan Ibrahim berkata, jawatan kuasa rundingan masih berjalan, di mana PAS mempunyai hubungan erat dengan Umno.
Malah banyak kajian sebelum ini menggambarkan pertandingan tiga penjuru pada PRU15 memberi peluang Pakatan Harapan (PH) bangkit semula. – HARAKAHDAILY 4/3/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!