Minuman keras: Fahami di sebalik Jokowi batal Perpres

PERTAMANYA saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada para ulama, NGO-NGO, ORMAS serta Kepala Daerah yang berjuang membantah keras Paraturan Presiden atau Perpres yang berkaitan dengan investasi baharu minuman keras (Miras) bagi beberapa daerah (provinsi) di Indonesia termasuk Bali.

Saya rasa terkejut juga keratan video pengisytiharan pembatalan Perpres oleh ‘Bapak’ Jokowi ditularkan di media-media sosial dan beberapa individu tertentu membuat komentar “Indonesia mengharamkan minuman keras, Malaysia bila lagi?”.

Ada juga yang membuat komentar “Kesedaran baharu memartabatkan Islam”. Tidak kurang juga yang menyanjung apa yang dilakukan oleh ‘Bapak’ Jokowi melalui video pendek tersebut dan membuat sindiran sinis terhadap negara sendiri Malaysia.

Advertisement

Berbekal pengalaman bekerja dan tinggal di beberapa daerah di negara jiran Indonesia itu selama 15 tahun, saya amat memahami soal politik dan sistem pemerintahan di Indonesia.

Apa itu PERPRES?

Perpres adalah Peraturan Presiden (President Decree) yang dibuat dan menjadi undang- undang yang wajib dilaksanakan dan dipatuhi. Presiden punya ‘wewenang’ (kuasa) untuk membuat peraturan dan undang-undang untuk diterima pakai di Negara Indonesia.

Bagi Malaysia pula semua peraturan dan undang-undang mestilah dibahas dan diluluskan samada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sebelum ianya boleh dilaksanakan dalam negara atau negeri.

Perpres No 10 Tahun 2021 Berkaitan dengan kebenaran untuk mengeluarkan (memproduksi) minuman keras di beberapa daerah di Indonesia termasuk Bali telah ditandatangani oleh ‘Bapak’ Jokowi dalam bulan Februari 2021 yang lalu. Ertinya Perpres No 10 ini dibuat untuk memberi kebenaran kepada para pelabur yang berminat untuk melabur dalam industri pengeluaran minuman keras di beberapa daerah di Indonesia.

Ada pun industri minuman keras serta penjualannya tidak disentuh langsung bahkan ianya berjalan seperti biasa.

Apabila Perpres ini dikeluarkan pada hujung bulan Februari yang lalu, ianya mendapat bantahan dan tentangan daripada ulama-ulama, kiyai-kiyai, dan organisasi Islam seperti NU (Nahdatul Ulama), Muhammadiah, MUI dan banyak lagi. Juga ianya mendapat bantahan daripada Kepala Daerah (Pemerintahan Daerah) yang berpegang kuat kepada prinsip Islam.

Dan akhirnya ‘Bapak’ Jokowi terpaksa tunduk dan akur serta menarik balik Perpres No 10 tahun 2021 ini daripada dilaksanakan.

Apakah menarik balik Perpres ini kerana keikhlasan beliau untuk memartabatkan Islam atau demi menjaga kepentingan politik beliau? Maklumat di hujung jari, kita dengan mudah boleh mengakses kronologinya dan rentetan Pilpres No 10 ini dengan melayari CNN Indonesia dan Liputan 6.

Jokowi merupakan Presiden Indonesia yang berfahaman sekular, liberal dan pluralisma. Oleh itu tidak mungkin seorang yang kuat fahaman liberalnya boleh diletakkan kepercayaan di pundaknya untuk memartabatkan Islam. Sebagai orang politik sudah tentu setiap tindakan yang diambil akan mengambil kira faktor sokongan dan kepentingan politik.

Sekiranya beliau ingin memartabatkan Islam, mengapa perlu membuat Perpres No 10 tersebut? Apakah untuk ‘test market’ atau sebaliknya.

Bagi rakyat Malaysia yang suka dan gemar kepada video pendek lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan kehangatan politik tanah air hari ini haruslah lebih bijak dan matang.

Kembalilah kepada prinsip ‘siyaqul kalam’ iaitu memperhatikan seluruh ucapan dan tidak mengerat atau memotong-motong ucapan kemudian ditularkan supaya ianya menjadi bahan propaganda dalam peperangan psikologi di media sosial serta mendiskredit pemerintah negara sendiri.

Kedua kembali kepada ‘siyaqul hal’, pelajari dan teliti tempat dan keadaan di mana ucapan itu dibuat. Bagaimana dengan realiti waqi’, budaya dan adat resam setempat.

Ketiga perhatikan ‘siyaqul lafaz’ yakni memerhatikan makna lafaz dan kalimah serta perumpamaan yang digunakan.

Saya meneliti ucapan Jokowi dan banyak perkataan yang beliau gunakan dengan tepat dalam bahasa Indonesia tetapi membawa makna dan erti yang berbeza dalam bahasa Malaysia.

Tidak ada apa yang boleh dibanggakan atas perisytiharan ini kepada umat Islam selain kita berterima kasih kepada para ulama, kiyai dan Ormas Islam Indonesia yang berjuang agar Perpres ini dicabut.

HAJI BAKRI JAMALUDDIN,
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Melaka. – HARAKAHDAILY 4/3/2021