MB dirawat di HUSM tiada kaitan suntikan vaksin

- Advertisement -

TUMPAT: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dimasukkan ke hospital bukan disebabkan suntikan vaksin yang diterima, sebaliknya berpunca daripada kepenatan bertugas.

Anggota Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, selepas mendapat suntikan vaksin Isnin lepas doktor menasihatkan Menteri Besar berehat selama dua.

“Mungkin kerana kepadatan program, rehat tidak cukup. Suntikan vaksin tidak ada kaitan, tiada kesan cuma beliau kepenatan.

“Sekarang sudah baik, mungkin hari ini sudah boleh balik,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan program ceria sekolah yang diadakan di Wisma Ibadurrahman di Pasir Pekan hari ini.

- Advertisement -

Turut hadir pada program itu Pengurus Besar TNB (Kelantan dan Terengganu), Mustaphakamal Yaacob dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Ustaz Mohd Asri Mat Daud.

Seramai 135 pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik mendapat
perhatian TNB dengan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kenyataan Pejabat Menteri Besar semalam menjelaskan Ustaz Ahmad menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian akibat kepenatan.

Wan Roslan juga berkata, sumbangan TNB memberi sinar dan galakan kepada pelajar tahun tiga, empat, lima dan enam yang akan memulakan sesi persekolahan 8 Mac ini. – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -