Kepentingan peribadi tak diberi peluang berkuasa

Sanusi tekad 'cuci dosa' ketidaktelusan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan terdahulu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada sesiapa akan diberi peluang atau mengambil kesempatan untuk memenuhkan poket sendiri atau kumpulannya, sebaliknya kekayaan negeri akan dipastikan hanya milik rakyat Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjamin untuk perkara tersebut tidak berlaku di bawah pentadbirannya dan sama sekali tidak akan memberi jalan kepada usaha-usaha seperti itu.

Sebaliknya beliau mengalu-alukan kedatangan pelaburan bagi membangun dan memajukan negeri Kedah dengan pantas di mana pihak kerajaan bersedia mempermudahkan proses-proses berkaitan.

- Advertisement -

“Kedah ini negeri miskin, KDNK-nya masih tercorot di kalangan negeri-negeri di Utara Semenanjung. Tapi Kedah ada sumber yang banyak. Kedah ada bumi yang luas. Kedah ada hutan, Kedah ada alam sekitar, Kedah ada sumber tenaga. Kedah ada banyak kawasan industri. 

“Semua faktor-faktor yang boleh dibangunkan dimajukan untuk memberi pulangan kepada Kedah patut dilaksanakan dengan pantas. Siapa nak melabur di Kedah, ada modal, ada duit, mai. Kita tak ada (urusan) di bawah meja (rasuah). 

“Tak ada ‘henky penky’, tak ada. Bawa RM100 juta, mai melabur RM100 juta. Tang (Di) mana nak buat projek? Kita buat kajian, boleh jalan (diluluskan), jalan dengan pantas. Jangan duduk ding dong ding dong, last-last tak jadi, saya tak mahu. 

“Kita bagi licin saja perjalanan mereka. Duit mana bawa ke sini untuk melabur habis kepada pelaburan. Jangan habis kut tengah jalan, ikut ‘pintu ayaq‘, ikut ‘pintu tol’, jangan! Jangan ambil dan jangan cuba-cuba untuk wujudkan kembali budaya itu. 

“Budaya itu akan diperangi di Kedah zaman saya ini insya-Allah. Saya nak kerja ini cepat, dan semua orang ada peluang yang sama. Siapa yang nak melabur, boleh, datanglah ke Kedah saya persilakan,” ujarnya dalam temubual bersama MalaysiaGazette, di sini malam tadi.

Menurut Sanusi, beliau berharap semua hasil bumi, hutan dan tanah dapat memberi kemakmuran kepada rakyat Kedah dan pihaknya menyatakan komitmen bekerja dengan usaha yang bertungkus-lumus. 

“Orang Kedah kata ‘pulun’. Kita tengah pulun ini, nak bagi balik kepada rakyat Kedah. Inilah sebenarnya hak rakyat Kedah (untuk) rasa apa yang ada ini. Saya harap rakyat Kedah menyokong perjuangan saya ini. 

“Sebab itulah saya rasa Kerajaan Persekutuan patut lihat pengorbanan yang selalu saya ulang (sebut). Kedah simpan (kekalkan) 100,000 hektar tanah untuk sawah padi. Kita bekalkan beras untuk negara ini (sebanyak) 43 peratus. 

“(Sedangkan) Tanah itu kalau kita convert ke (status) komersial ataupun industri, kita boleh kutip cukai tanah RM1.7 bilion berbanding cukai tanah pertanian sekarang ini. Jadi Kerajaan Pusat, kita mohon pertimbangkan, bayarlah 10 peratus.

“Daripada RM1.7 bilion itu RM170 juta; bayar sebagai pampasan kepada kita mengekalkan sebahagian besar tanah Kedah ini sebagai tanah pertanian untuk menghasilkan makanan,” perjelas beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Menurutnya, Kedah juga mengekalkan simpanan 300,000 hektar Hutan Ulu Muda sebagai Hutan Simpan Kekal menjadi kawasan tadahan air termasuk untuk kegunaan Perlis dan Pulau Pinang.

Demikian itu beliau turut memohon pampasan seumpama daripada Kerajaan Persekutuan atas pengorbanan tersebut di mana pengekalan itu juga bagi kepentingan kawasan pertanian terutama sawah padi.

“Saya akan fight (perjuangkan) apa yang patut Kedah dapat. Walaupun sebelum ini tak disuarakan, saya rasa wajar perjuangan ini dibawa ke depan. Kalau orang tak pertimbang sepenuhnya, timbang separuh. Jadi Kedah kena ada fighter (pejuang). 

“Dan saya ada team yang kuat di kalangan EXCO, wakil rakyat, pegawai tinggi kerajaan, kakitangan kerajaan di Kedah sekarang ini, support apa yang kita buat. Mereka, dan kita wujudkan environment yang mereka seronok dan selesa untuk bekerja. 

Depa (mereka) kerja ikut undang-undang, ikut peraturan yang dikuatkuasakan, dan undang-undang itu kita tak balan, kita tak blok, kita tak halang. Jadi seronoklah bekerja. Apa yang kita capai ini insya-Allah berkat usaha kita.

“Dengan izin Allah S.W.T kita akan capai Kedah yang lebih baik untuk masa depan anak cucu kita, walaupun tak capai masa saya, mungkin umur saya pendek, setahun dua lagi mati. Tapi at least saya tinggalkan asas untuk pemimpin masa akan datang.

“Perjuangkan apa yang telah kita mulakan ini. Harap-harap dapat capailah. Esok-esok ini, siapa-siapalah pemimpin yang menjadi pemimpin, dia akan meninggalkan legasi, meninggalkan jasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -