Karnival: Peluang kerja untuk rakyat Terengganu

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hampir 10,000 peluang pekerjaan bakal dibuka kepada rakyat Terengganu ini sempena Karnival Penjana Pekerjaan Negeri Terengganu 2021 yang dijadual berlangsung April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, karnival tersebut akan diusahakan pada pertengahan April yang dicadang diadakan di Pusat Sains dan Kreativiti (PSKT), Chendering.

Menurutnya, peluang itu sangat menarik kerana ia mendapat sambutan baik daripada pelbagai majikan melalui peruntukan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menggunakan saluran berkenaan.

“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan menjadi perantara antara majikan dan rakyat yang terkesan dengan kemelesetan ekonomi akibat Covid-19 serta yang ingin mencari peluang pekerjaan,” katanya memetik laporan portal TRDI News, semalam.

- Advertisement -

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mendapat majikan-majikan berdaftar sama ada secara fizikal atau online dengan menyediakan 9,900 lebih peluang pekerjaan yang menanti.

Mohd Nurkhuzaini meramalkan sambutan akan mencecah hingga 50,000 pengunjung yang akan memeriahkan karnival peringkat negeri itu.

“Dengan norma baharu disebabkan pandemik, cadangan lokasi iaitu PSKT adalah strategik dan selesa buat para pengunjung,” jelasnya yang juga Adun Kota Putera.

Beliau menyifatkan karnival itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam tempoh pandemic Covid-19 dengan penglibatan lebih daripada 80 majikan pelbagai bidang. – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -