Halal JAKIM terima sijil akreditasi ISO/IEC

- Advertisement -

SUKACITA dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pengurusan Halal (BPH) telah berjaya memperoleh pengiktirafan akreditasi berdasarkan standard Antarabangsa iaitu ISO/IEC 17065 – Conformity Assessment – Requirements for bodies certifying products, process and services pada 10 Oktober 2020 yang lalu setelah menjalani beberapa peringkat penilaian yang ketat oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia).

Standards Malaysia selaku Badan Standard dan Badan Akreditasi Kebangsaan telah memberikan pengiktirafan akreditasi kepada JAKIM berdasarkan kepada keupayaan sistem pensijilan yang dilaksanakan serta mempunyai kualiti dan kompetensi perkhidmatan yang baik dalam menjalankan fungsinya sebagai badan pensijilan.

- Advertisement -

Untuk makluman, skop akreditasi ISO/IEC 17065 yang diperoleh oleh JAKIM adalah bagi pensijilan produk makanan dan minuman, premis makanan seperti hotel dan restoran serta pensijilan bagi rumah sembelihan haiwan. Pada masa akan datang, skop akreditasi ini akan terus diperluaskan kepada skim-skim pensijilan halal yang lain.

Akreditasi ini dilihat sebagai salah satu perkara yang amat penting untuk membantu industri di Malaysia khususnya dalam aspek pemasaran produk-produk domestik yang mempunyai pensijilan halal Malaysia untuk pergi jauh merentas sempadan dan benua. 

ISO/IEC 17065 ini juga dapat mengurangkan halangan perdagangan bagi tujuan kemasukan produk-produk dari Malaysia ke sesetengah negara yang lain. Dengan pengiktirafan ini, jelas membuktikan bahawa pensijilan halal Malaysia adalah setanding dengan pensijilan-pensijilan Antarabangsa yang lain dan dapat diterima di peringkat global.

JAKIM memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan impian dalam memperoleh akreditasi ini menjadi realiti sepertimana yang telah dicapai pada hari ini. Ia menjadi titik tolak ke arah memperkukuhkan lagi jenama Malaysia selaku peneraju badan pensijilan halal global serta menunjukkan usaha kerajaan dalam melindungi dan memelihara kebajikan pengguna Islam khususnya dan berusaha mengutamakan produk makanan dan perkhidmatan yang benar-benar dijamin halal dan berkualiti tinggi untuk semua pengguna umumnya.

Saya amat bersyukur dan berbangga dengan kesungguhan dan usaha serta komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan indikator untuk menyediakan perkhidmatan serta produk yang halal itu sebagai satu ibadah diberi keutamaan sehingga dapat direalisasikan melalui pengiktirafan yang diterima ini.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -