FAMA mengukuhkan rantaian bekalan dan jaminan makanan

- Advertisement -

BILA bercakap mengenai makanan, orang Malaysia memang nombor satu. Makanan kita pun memang bertaraf dunia, jadi tidak hairanlah orang kita asyik cerita mengenai makanan. Tahun lepas, CNN buat senarai 50 Makanan Terbaik Dunia dan asam laksa kita berada di tangga ke tujuh, lebih tinggi dari tomyam dan ais krim! Tapi bila bercakap mengenai makanan, kita sering terlepas pandang sumber makanan kita. Walaupun pengeluaran makanan kita agak tinggi, Malaysia masih lagi banyak bergantung kepada import makanan.

Kita mampu menghasilkan makanan secukupnya untuk rakyat, dan kita sememangnya boleh merealisasikan cita-cita mewujudkan jaminan makanan (food security) untuk negara. Kurniaan tanah yang subur oleh Ilahi masih banyak belum dibangunkan sepenuhnya untuk pertanian, memungkinkan cita-cita ini tercapai. Kita juga mempunyai jaringan pemasaran dan pengagihan yang amat luas untuk menyampaikan hasil tani yang diraih kepada pengguna.

- Advertisement -

Potensi besar untuk menjamin bekalan makanan ini saya saksikan sendiri semasa siri lawatan Tinjau MoF Kementerian Kewangan ke Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Dengkil baru-baru ini. Bersama-sama saya adalah YB Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), dan YB Dato’ Hj. Mohd Fasiah Hj. Mohd Fakeh Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta lain-lain pemimpin kanan FAMA Negeri dan Persekutuan.

Kemudahan yang dibina pada tahun 1981 ini dikenali sebagai Kompleks Bilik Sejuk (KBS) FAMA Dengkil, dan telah sama-sama menyumbang kepada usaha menangani senario pemasaran hasil tani yang terkesan pandemik COVID-19, seperti juga lain-lain pusat FAMA di seluruh negara sepanjang awal tahun lalu sehinggalah awal tahun ini.

Tempoh hampir setahun sejak bermulanya pandemik telah menjadi satu medan ujian kepada peranan FAMA mengekalkan jaminan makanan untuk negara, apabila pasaran-pasaran makanan segar dan saluran-saluran logistik beroperasi pada tahap terhad, menyebabkan lambakan hasil. Sebagai contoh, Encik Yusuf Lang Buana dari Jerantut, Pahang telah menawarkan hasil timun beliau sebanyak lebih satu tan secara percuma kepada orang ramai berikutan kegagalan menjualnya kepada pemborong susulan PKP. FAMA muncul sebagai penyelamat, membeli hasil tanaman beliau dan situasi yang sama turut berlaku di tempat lain di seluruh negara.

Alhamdulillah, rangkaian pusat-pusat FAMA telah berjaya mengekalkan rantaian bekalan hasil tani daripada 5,958 petani kepada 5,510 usahawan untuk kegunaan 8.10 juta pengguna di seluruh Malaysia. Kejayaan ini bermakna ramai pemegang taruh di dalam rantaian bekalan makan negara – para petani, pembekal dan pengguna – telah dapat meneruskan aktiviti dan kehidupan seharian tanpa diganggu gugat oleh kekurangan bekalan. Bagi saya ini adalah demonstrasi salah satu unsur penting dalam menjamin bekalan makanan, iaitu kemampuan untuk mengekalkan dan memajukan rantaian bekalan makanan untuk rakyat. Belanjawan 2021 turut memberikan penekanan kepada aspek pertanian dan jaminan makanan. 

Sehubungan itu, bagi tahun 2021, beberapa inisiatif utama bagi sektor pertanian dan industri makanan akan dilaksanakan antaranya seperti berikut:

Pertama: Peluasan Program Kebun Komuniti kepada komuniti separa bandar dan luar bandar dengan peruntukan berjumlah RM30 juta.

Kedua: Pelaksanaan Projek Pertanian Organik di peringkat komuniti dengan peruntukan RM50 juta dan dijangka memanfaatkan 1,000 komuniti;

Ketiga: Pelaksanaan Program Ladang e-Satelit dengan peruntukan RM10 juta.

Keempat: Pembiayaan di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan sebanyak RM150 juta.

Kelima: Pembiayaan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan sebanyak RM60 juta.

Keenam: Pelaksanaan Program Pengembangan Akuakultur dengan peruntukan RM10 juta.

Ketujuh: Pelaksanaan projek pertanian dan penternakan berimpak dan bernilai tinggi dengan peruntukan RM100 juta.

Dalam sesi-sesi turun padang saya sebelum ini saya juga telah bertemu ramai petani muda yang celik terhadap keperluan pemodenan sektor pertanian. Wajah-wajah baru inilah yang akan membawa sektor pertanian negara ke tahap yang lebih tinggi, sudah tentunya dengan sokongan agensi pelaksana seperti FAMA.

YB SENATOR DATO’ SRI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -