Cara-cara mensabit kesalahan rasuah

OLEH kerana kesalahan rasuah termasuk dalam kesalahan yang berkait dengan harta benda, maka ia disabitkan dengan apa-apa yang berkaitan dengan harta benda melalui kesaksian, pengakuan tertuduh dan qarinah.

Cara pertama rasuah disabitkan dengan kesaksian

1) Dua orang saksi lelaki
2) Seorang saksi lelaki dan dua saksi wanita
3) Seorang saksi dan bersumpah

Disabitkan kesalahan rasuah oleh dua orang saksi lelaki berdasarkan kepada Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu..,” (Al-Baqarah: 282)

Ayat di atas menetapkan bahawa kesabitan hutang melalui kesaksian dua orang saksi lelaki. Hutang pemiutang adalah termasuk dalam hal harta benda maka begitu juga rasuah adalah kesalahan berkaitan dengan kewangan. Maka sabitkan hutang pemiutang dengan dua orang saksi lelaki kerana ia termasuk dalam bab harta benda.

Advertisement

Disabitkan dengan seorang saksi lelaki dan dua saksi wanita berdasarkan Firman Allah yang bermaksud: “…Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi…” (Al-Baqarah: 282)

Dalam ayat di atas Allah menganggap bahawa seorang saksi lelaki dan dua orang saksi perempuan dalam kes-kes harta benda adalah satu cara untuk menghukum penjenayah tersebut dan kesalahan rasuah adalah sebahagian daripadanya maka sabitlah kesalahan rasuah dengan adanya saksi seorang lelaki dan dua orang perempuan.

Kesalahan rasuah boleh disabitkan dengan seorang saksi dan bersumpah berdasarkan kepada hadis riwayat daripada Imam Ahmad dan At-Tarmidzi bahawa Rasululllah s.a.w telah menjatuhkan hukuman yang disabitkan dengan bersumpah dengan seorang saksi.

Maka hukuman Nabi s.a.w dengan disabitkan melalui sumpah dan kesaksian menunjukkan sabitnya hak tersebut.

Penghakiman Nabi s.a.w berasaskan kepada sumpah dan saksi itu telah diriwayatkan oleh para sahabat iaitu Saidina Ali, Ibnu Abas, Abu Hurairah Jabir dan Abdullah Ibnu Umar dan lain-lain.

Juga orang yang bersumpah itu disampaikan oleh seorang saksi membuktikan kekuatan sumpah oleh orang yang mengingkari perbuatan tersebut.

Cara yang kedua untuk mensabitkan kesalahan rasuah ialah dengan pengakuan oleh yang dituduh.

Sabit kesalahan rasuah apabila yang tertuduh sendiri mengakui kesalahan rasuah yang dilakukannya. Pengakuan itu diberikan oleh seorang yang mukalaf, baligh, waras akalnya, dengan kehendaknya sendiri tanpa adanya paksaan daripada orang lain.

Cara yang ketiga kesalahan rasuah boleh disabitkan dengan qarinah atau circumstances @ Pertalian yang kuat.

Kesalahan rasuah boleh disabitkan dengan Qarinah atau perkara-perkara yang ada kaitan yang kuat, yang mana disabitkan dalam firman Allah berkaitan dengan saudara-saudara kepada Nabi Yusof a.s yang bermaksud: “Mereka menjawab balasannya, siapa yang didapati benda itu di kenderaannya maka dialah sendiri yang menjadi balasannya. ” (Surah Yusof: 75)

Ertinya orang yang mencuri itu balasannya ditahan sebagai orang tawanan oleh tuan punya harta benda yang dicuri itu.

Dengan kisah yang disabitkan dalam al-Quran itu menjadi dalil yang tidak boleh dinafikan bahawa qarinah atau perkaitan yang kuat boleh dijadikan asbab untuk mensabitkan suatu kesalahan.

Begitu juga sabda Nabi s.a.w kepada Jabir ketika beliau hendak pergi Khaibar. Jika kamu jumpa wakil aku, ambil daripadanya sebanyak 15 wasak (gantang) dan jika dia minta daripada kamu satu ayat letakkan tanganmu di atas tulang selaka. (Riwayat Abu Daud)

Sebagai contoh jika seorang itu memberi sejumlah wang kepada seorang yang dapat dipastikan nombornya atau diletakkan tanda yang tertentu berbeza dengan wang ringgit yang lain, tiba-tiba lepas itu penerima rasuah itu ditangkap polis maka wang ringgit boleh dijadikan bukti sebagai qarinah atau kaitan antara pemberi dan penerima rasuah.

Satu lain contoh qarinah atau perkara-perkara yang ada kaitan seperti seorang biasa daripada segi pangkat dan jawatan, tiba-tiba mempunyai kekayaan yang luar biasa, mempunyai kereta mewah, kediaman mewah dan rumah sewa yang banyak. Apabila disyaki dia boleh disiasat.

Maka hubungan dia sebagai seorang biasa tetapi mempunyai kekayaan yang luar biasa boleh disabitkan dengan qarinah yang kuat, bahawa kekayaan itu hasil daripada pendapatan rasuah dan sebagainya. Wallahualam. – HARAKAHDAILY 4/3/2021

Penulis merupakan Pengerusi Assabiqun PAS Pusat