Agenda perpaduan inilah satu-satu jalan kita

- Advertisement -

RAKYAT rata-rata sedang menunggu dengan penuh harap pengumuman kerjasama dan permuafakatan politik antara Umno-BN, PAS dan BERSATU. Bukan lagi teka-teki bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 dijangka diadakan dalam waktu yang terdekat bagi meredakan kemelut politik semasa, namun ia diyakini tidak akan diumumkan selagi kerjasama yang dimaksudkan tidak terjalin.

Terbentuk sahaja suatu kerjasama dan permuafakatan antara ketiga parti ini bermakna terbentuklah penyatuan kuasa politik umat Melayu buat pertama kali dalam sejarah. Sekiranya ini berjaya diusahakan adalah dijangkakan politik baru ini akan mencatat kemenangan besar dengan menguasai hampir keseluruhan kerusi-kerusi Parlimen majoriti Melayu selain memenangi sebahagian besar kerusi-kerusi campuran lantas membawa kemenangan ‘solid’ majoriti dua pertiga.

- Advertisement -

PH bakal kehilangan hampir kesemua kerusi majoriti Melayu mereka termasuklah Permatang Pauh, Pokok Sena, Parit Buntar, Kapar, Kuala Langat, Lumut, Temerloh, Kuantan, Kuala Kedah dan banyak lagi. DAP yang dijangka terus menguasai undi bukan-Melayu mungkin boleh bertahan di sebahagian besar kerusi mereka, akan tetapi PAN dan PKR dijangka teruk terjejas.

Kerana itu penyatuan kuasa politik umat Melayu Islam ini adalah merupakan asas utama yang akan membawa kemenangan besar buat ketiga-tiga parti Umno-BN, PAS dan BERSATU serta rakan-rakan sekutu mereka.

PAS sejak awal-awal lagi menekankan kepentingan prinsip ini, kerana tanpa pembentukan penyatuan kuasa politik umat Melayu ini, ketenteraman politik dalam negara sukar tercapai. Apabila negara kembali tenteram tanpa cabaran serta gangguan pada kerajaan tatkala itu kemakmuran dan kesejahteraan negara dapat diusahakan dengan memberikan keadilan kepada semua rakyat berbilang kaum dan agama. Ini bakal tercapai kiranya kuasa politik diterajui kelompok yang mewakili majoriti kaum dalam negara dan tidak sebaliknya.

PAS bangkit sebagai pencetus kepada agenda besar penyatuan ummah ini. Bangkit dari PRU ke-14 lalu PAS sedar tanpa mampu membawa parti-parti politik Melayu Islam bermuafakat maka selagi itulah kita berpecah dan yang naik meraih keuntungan adalah pihak lain sebagaimana berlaku ketika PH menang dahulu dengan DAP mendominasi kerajaan.

Pasca PRU14, Umno-BN hanya mampu bertahan di dua buah negeri dan beralih ke bangku pembangkang di Dewan Rakyat. BERSATU pula ketika itu berada di bangku kerajaan. Manakala PAS pula sebenarnya tidak pilu tetapi meraikan pencapaiannya antara yang terbaik. Sesungguhnya dalam PRU ke-14 lalu, PAS yang ketika itu bertanding bersendirian tidak menunggang atas kekuatan atau populariti mana-mana parti sebaliknya bertarung atas kekuatannya sendiri. 

Dalam PRU 1990 PAS menang kembali Kelantan tetapi ketika itu bersama dengan Semangat 46. Dalam PRU 1999 PAS bertahan di Kelantan dan menang pula di Terengganu itupun ketika Keadilan (kemudiannya PKR) bersamanya dan era Reformasi berada di kemuncaknya. Demikian juga PRU 2008 bila mana PAS berjaya di Kedah dan turut bersama Kerajaan Selangor dan Perak semasa dalam Pakatan Rakyat.

Akan tetapi pencapaian PRU14 adalah pencapaian PAS yang berlainan sama sekali. Namun ia tidak meletakkan PAS di zon selesa. PAS segera sedar perpecahan politik umat Melayu ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia menjejas dan mengancam nasib dan masa depan agama dan bangsa. Jika Islam terancam dan umat Melayu yang merupakan teras kepada kekuatan agama ini lemah, maka ia bertentangan dengan prinsip perjuangan PAS Kerana itu PAS segera menyambut tangan Umno demi merintis jalan ke arah pembentukkan Muafakat Nasional.

Bukannya PAS tidak sedar Umno ketika itu berada pada tahap pencapaiannya yang paling buruk. Umno sudah karam dan mahu lemas, mengapa diberi nyawa, bentak seorang pemimpin PH. Tetapi PAS punyai pandangan yang lebih jauh dengan mengutamakan survival umat Melayu Islam. 

Yang lebih mendesak ketika itu adalah bagi kedua parti mengenepikan perbezaan dan sejarah lampau sebaliknya membina ikatan permuafakatan kerana mahu mengelakkan nasib yang lebih buruk di masa hadapan.

PAS membina Muafakat Nasional bersama Umno semata-mata demi menobatkan agenda penyatuan ummah. Selagi umat Melayu berpecah agenda ini tidak akan tercapai, oleh itu kiranya ada mana-mana kelompok atau kumpulan yang bersama menerima agenda ini, PAS sedia bersama mereka.

Kejatuhan Kerajaan PH pada Februari 2020 telah membuka peluang baru buat agenda penyatuan ummah ini. BERSATU telah meninggalkan bertindak keluar Kerajaan PH dan kini bersedia membina kerajaan baru bersama Umno dan PAS atas dasar agenda ini, lantas PAS dan Umno bersama mendukungnya.

Kini kita bakal menghadapi PRU ke-15, agenda ini kekal sebagai fokus utama PAS, soalnya adakah Umno dan BERSATU masih memberi tumpuan padanya? Kerana itu dalam kenyataannya yang terbaru Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan fiqh politik Islam menetapkan wajib ditegakkan kepimpinan Islam yang kukuh dengan asas perpaduan. Inilah yang PAS mahukan sejak dari penubuhan Muafakat Nasional dahulu dan inilah juga yang diharapkan dari rakan-rakannya menjelang PRU ke-15 ini.

Tambah Tuan Guru, Rasulullah S.A.W telah menunjukkan contoh keutamaan dalam agenda perpaduan umat apabila menyatukan umat Islam di kalangan Muhajirin, Ansor dan lain-lain yang menganut Islam terlebih dahulu di Madinah. Penyatuan ini berjaya menghapuskan segala sifat kebanggaan terhadap diri sendiri. Asabiyyah keluarga dan qabalah.

Kemudiannya barulah proses penyatuan melibatkan pula golongan bukan-Islam yang tidak ekstrem yang boleh bernaung di bawah kepimpinan Islam. Semoga kita termasuklah Umno dan BERSATU kekal di atas landasan agenda murni yang dituntut agama ini. Urus dan selesaikanlah dengan baik masalah dan perbezaan sesama kita, umat Melayu perlukan kepimpinan yang bertakwa yang meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan yang lain. 

Dalam hal ini Tuan Guru memetik pesanan Imam al Ghazali R.H yang berbunyi: “Agama itu menjadi asas, kuasa pemerintahan (politik) menjadi pengawas. Apa-apa yang tiada asasnya akan runtuh dan apa-apa yang tiada pengawasnya menjadi tercicir hilang (sia-sia)”.

Umat Melayu Islam hari ini telah bersama kita setelah dididik untuk menyokong dan bernaung di bawah payung perpaduan ummah. Dan ternyata mereka selesa dan bersedia menyahut politik baru ini. Jangan pula kita lantaran perbezaan yang tidak mahu diselesaikan bertindak sebaliknya. Jika agama menjadi asas perpaduan ini, ia tidak sekali-kali akan gagal. Lalu berusahalah dengan bersungguh ke arah kejayaan yang dijanjikan. 

Allah S.W.T berfirman maksudnya:

“Dan bahawa sesungguhnya (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan Ku (agama Islam) yang lurus (istiqamah) maka hendaklah kamu mengikutinya dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kalian daripada jalan Nya. Dengan yang demikian itulah Allah memerintahkan agara kalian bertakwa.”

(al-An’am: 153)

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -