3 Mac 1924: Titik hitam buat umat Islam

- Advertisement -

HARI ini kita lihat banyak sekali berita mengenai umat Islam di seluruh dunia yang memperlihat kepincangan dan masalah umat Islam yang semakin membarah. Propaganda media Barat memainkan peranan yang sangat penting dengan menyebarkan ideologi-ideologi Taghut terhadap umat Islam dari segenap sudut.

Natijahnya, umat Islam tidak mampu bangkit menghadapi musuh Islam malah hanya menjadi bidak catur kuasa Barat sepertimana berlaku di Palestin, Yaman, Syria serta negara Islam yang lain. Oleh itu, menjadi tanggungjawab umat Islam yang sedar akan perkara ini untuk berusaha menyatukan umat Islam di bawah satu fikrah Islamiah.

- Advertisement -

Jika kita menelusuri sejarah kejatuhan Islam, bukanlah bermula dari era Sultan Abdul Hamid II tetapi bermula dari Sultan Mahmud II (1808-1839) apabila beliau terpaksa menghadapi ancaman dari pihak Rusia dan ancaman Janisari yang merupakan pasukan elit yang menjadi parasit kerajaan.

Program Tanzimat yang merupakan satu program pembaratan terhadap Kerajaan Uthmaniyah dijalankan oleh bekas Diplomat Uthmaniyah yang merupakan tokoh Freemason, Sadrazam Mustafa Reshid Pasya pada zaman Sultan Abdul Mejid (1839-1861). Program Tanzimat ini dibuat disebabkan pemerintah tersebut terpesona dengan pembangunan dan tamadun Barat yang dibina atas dasar Sekularisme.

Peranan Young Turks dalam mempercepat proses jatuhnya Kerajaan Uthmaniyah sangat dahsyat. Perbuatan Sadrazam Midhat Pasha dan kumpulannya telah menyebabkan Turki Uthmaniyah menanggung hutang yang banyak sehingga diisytihar muflis pada tahun 1875 di zaman Sultan Abdul Aziz (1861-1876). 

Peranan mereka tidak terhenti di situ sahaja, malah golongan Young Turks ini telah merosakkan kerajaan sehingga menyebabkan tercetusnya Perang Uthmaniyah-Rusia 1877 yang menyebabkan kekalahan di pihak Uthmaniyah, malah mereka jugalah yang telah mengheret Kerajaan Uthmaniyah ke dalam kancah Perang Dunia I.

Perang propaganda yang dimainkan oleh media musuh merupakan satu strategik yang signifikan untuk menjatuhkan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Beribu-ribu akhbar Arab, Inggeris, Perancis, Armenia dan Albania diterbitkan untuk memfitnah dan mentohmah Sultan Abdul Hamid II (1879-1909) yang dilihat sebagai penghalang utama dalam menjatuhkan Khalifah Uthmaniyah.

Penyusupan pemikiran musuh dalam kalangan umat Islam merupakan satu faktor terbesar dalam proses kejatuhannya. Tokoh-tokoh Committee of Union and Progress (CUP) dengan kerjasama badan perisikan British telah merancang komplot ’31 Mac’ sehingga menyebabkan Sultan Abdul Hamid II dituduh dengan empat tuduhan iaitu, merancang insiden 31 Mac, membakar Al-Quran, membazir dan boros serta zalim dan membunuh. Rentetan daripada peristiwa tersebut, pada 27 April 1909, Parlimen dan fatwa Syeikhul Islam, Muhammad Dhiyauddin Afandi telah memecat Sultan Abdul Hamid II.

Kesimpulannya, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru kepada semua umat Islam supaya mengambil iktibar dari sejarah ini agar tidak diulangi kesilapan tersebut pada masa akan datang. Kesatuan umat Islam berasaskan tauhid merupakan satu faktor yang penting dalam kebangkitan Islam. Semoga Allah memelihara umat Islam dari bencana perpecahan dan pergolakan sesama umat Islam.

“Memimpin Kebangkitan Mahasiswa”

AHMAD ZAIMMUL ADLI ABDULLAH
Naib Presiden 2
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2021 – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -