SRIDU sesuai pembelajaran ikut norma baharu

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) mengekalkan sistem pembelajaran sedia ada yang disesuaikan dengan norma baharu.

Guru besar sekolah berkenaan Sri Hariazi Juhari berkata, pihaknya berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia dan pengurusan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI).

Katanya, waktu persekolahan bermula jam 7.30 hingga 4 petang dikekalkan dengan sedikit kesesuaian mengikut SOP pandemik Covid-19.

“Solat berjemaah diadakan dua peringkat iaitu kumpulan pertama tahun satu, dua dan tiga. Manakala kumpulan seterusnya tahun empat, lima dan enam serta mengikut penjarakan fizikal.

- Advertisement -

“Pelajar juga dikehendaki membawa dan menggunakan sejadah sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Isnin lepas seramai 78 pelajar tahun satu memulakan sesi persekolahan yang ditempatkan di tiga bilik darjah.

Sri Hariazi juga berkata, kerjasama daripada keluarga pelajar dan waris begitu baik di mana mereka patuh arahan pihak sekolah.

“Sehari sebelum sekolah dibuka pihak pengurusan sekolah mengadakan taklimat secara online bersama ibu bapa dan penjaga pelajar tahun satu.

“Pada taklimat itu kita terangkan berkenaan SOP yang perlu dipatuhi dan alhamdullilah maklum balas mereka amat baik,” ujar beliau.

Menurutnya juga pihak pengurusan menawarkan penginapan di asrama kepada pelajar bagi memudahkan pemantauan dilakukan dengan mengikut SOP ditetapkan kerajaan.

Mengikut SOP pelajar tidak dibenarkan makan di tempat lain waktu rehat kecuali dalam kelas. Begitu juga guru perlu makan di kelas atau bilik rehat guru.

Kata beliau juga kantin ditutup kecuali kantin asrama sahaja. Kegiatan luar kelas juga tidak diadakan.

SRIDU mempunyai seramai 469 pelajar tahun satu hingga enam. Sekolah rendah akan dibuka sepenuhnya pada 8 Mac ini. – HARAKAHDAILY 3/3/2021

- Advertisement -