Sajat bertaubatlah, kembali ke pangkal jalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menasihatkan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat supaya bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.

“Muhammad Sajjad dinasihatkan untuk bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT supaya tindakan yang dilakukannya diampunkan.

“Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Pengasih, maka pohonlah keampunan kepada-Nya dengan bertaubat secara bersungguh-sungguh,” ujar Ketua DMPM, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memetik firman Allah SWT di dalam Surah al-Zumar, ayat 53 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

- Advertisement -

Baru-baru ini tular tentang sebuah video yang mengatakan bahawa Sajat berniat untuk menukar agama. Keadaan itu disebabkan kecewa dengan tindakan orang di sekelilingnya.

“Sebagai orang Islam, kita dilarang untuk menyatakan sesuatu yang membawa maksud murtad,” ujar Nuridah lagi.

Jelas beliau, perbuatan itu merupakan diantara perkara yang mempersendakan agama.

Beliau berkata, Islam adalah agama dan cara hidup yang datang daripada Allah untuk kesejahteraan dan keadilan semua makhluk di muka bumi.

“Kita tidak akan terlepas daripada diuji oleh Allah SWT. Semua manusia mempunyai pilihan sama ada ingin melakukan perkara kebaikan atau kejahatan,” katanya lagi.

Namun, ujar Nuridah ia bukanlah tiket untuk memilih jalan yang salah.

“Mudah-mudahan Muhammad Sajjad dipandu oleh Allah SWT untuk kembali kepada fitrah asal sebagai muslim yang baik. Didoakan juga untuknya agar dikurniakan hidayah dan menemui jalan yang diredhai oleh Allah SWT,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 3/3/2021

- Advertisement -