Potong barisan: Pegawai Exco buat laporan polis

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pegawai khas anggota Exco kerajaan negeri membuat laporan polis terhadap individu yang bertanggungjawab menyebar berita tidak benar berhubung isu potong barisan penerima vaksin di Kelantan.

Pegawai Khas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Taufiq Ramli berkata, dakwaan tersebut menjejaskan integriti kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Kelantan.

Menurutnya dakwaan tidak berasas itu menjadi tular menyebabkan imej serta reputasi kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri terjejas.

Katanya walaupun penafian isu tersebut dilakukan namun beliau masih menerima gambar tangkap skrin daripada individu sama yang menyambut baik penafian dibuat kerajaan negeri baru-baru ini.

- Advertisement -

“Walaupun kerajaan negeri menafikan isu terbabit tetapi saya menerima satu lagi gambar tangkap skrin yang berbaur fitnah kepada kerajaan negeri susulan membuat penafian tersebut.

“Justeru saya membuat laporan ini untuk membolehkan pihak polis membuat siasatan terhadap ciapan-ciapan yang pada hemat saya melanggar undang-undang serta nama baik kerajaan terjejas,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di Pengkalan Chepa hari ini.

Ahad lalu tular di laman sosial yang memaparkan mesej mendakwa suntikan vaksin kepada barisan hadapan sebagai penerima pertama terpaksa ditangguh bagi memberi laluan ‘200 ahli SUK Kelantan’.

Taufiq juga berkata, tindakan wajar diambil terhadap siapa yang menyebar isu tidak benar tersebut termasuk tindakan disiplin, tatatertib kerja dan sebagainya.

“Saya rasa bertanggungjawab atas isu ini atas kapasiti penjawat awam untuk perbetulkan semula kejadian berlaku, menolak isu yang viral sehari dua ini dan membaiki imej agensi kerajaan,” katanya.

Turut hadir Pegawai Khas Menteri Besar Ustaz Mohd Hushaimi Hussian dan Ketua Pemuda PAS Pengkalan Chepas, Ustaz Mohd Afif Rabbani Abdullah.

Taufiq sebelum ini menerima gambar tangkapan skrin dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang mendakwa kejadian potong barisan bagi penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan.

Dakwaan itu juga sebelum ini dinafikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan anggota Exco Dr Izani Husin. – HARAKAHDAILY 3/3/2021

- Advertisement -