Liga-M: 242 perlawanan bangkit semangat peminat tempatan

Foto daripada Facebook Malaysian Football League.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 242 perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 bakal menyemarakkan semangat jutaan peminat bola sepak tempatan bermula dengan perlawanan merebut Piala Sumbangsih sebagai pembuka tirai kempen liga yang dijangka menyajikan saingan penuh aksi, Jumaat ini.

Episod suka duka kejayaan jurulatih, pencapaian pasukan, pembangunan pemain sehingga ke konflik dalaman pengurusan, isu tunggakan gaji dan mutu pengadilan menjadi perhatian tatkala kesemua pasukan musim ini tampil dengan imej baharu selepas melalui proses penswastaan.

Pandemik Covid-19 di negara ini yang masih perlu diawasi menyaksikan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Liga-M 2021 diperketatkan serta model gelembung sukan diaplikasikan sekali gus saingan berlangsung tanpa kehadiran penonton ke stadium.

Seratus tiga puluh dua perlawanan Liga Super melibatkan 12 pasukan dengan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) mengintai rekod kejuaraan kelapan berturut-turut sambil Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Perak FC, Sri Pahang FC dan Terengganu FC (TFC) sedia mencabar takhta kejuaraan.

- Advertisement -

Sementara UiTM FC, Melaka United FC, Petaling Jaya City FC, Sabah FC dan dua pendatang baharu Penang FC selaku juara Liga Premier 2020 serta Kuala Lumpur United FC dilihat berupaya mencipta kejutan sepanjang kempen 2021.

Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor yang dianggap antara stadium bola sepak terbaik di Asia Tenggara akan menjadi venue aksi merebut Piala Sumbangsih atau juga dikenali sebagai Piala Sultan Ahmad Shah antara JDT dengan KDA FC.

Bagi skuad Lang Merah, ini peluang terbaik melunaskan dendam kekalahan kepada JDT di pentas sama pada musim lepas selain memastikan tiga mata pertama saingan liga menjadi milik mereka, namun dengan status juara bertahan, JDT turut mengintai meraih gelaran keenam sejak memenangi edisi 2015.

Namun ketika negara masih diancam pandemik Covid-19, kebenaran diberikan kerajaan untuk saingan Liga-M 2021 berlangsung disusuli dengan harapan supaya ia menjadi penanda aras kepada pematuhan SOP dan pelaksanaan gelembung sukan di Malaysia.

“Kami tidak boleh mensia-siakan kepercayaan ini. Setiap seorang daripada kita mempunyai amanah dan peranan untuk memastikan liga ini selamat dan dapat dijayakan,” kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada majlis pelancaran saingan Liga-M 2021, Isnin lepas.

Penguatkuasaan SOP lebih ketat sebagai langkah memastikan saingan liga berjalan lancar bagi mengelak sebarang penangguhan dan pembatalan mana-mana pertandingan yang bukan sahaja akan menjejaskan kewangan pasukan, malah turut menguji keyakinan barisan penaja.

Tanpa kehadiran penaja baharu dalam musim ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pentabir Liga-M memperoleh kutipan tajaan berjumlah RM33.4 juta yang turut merangkumi hak penyiaran perlawanan bagi memastikan kelancaran saingan musim ini.

Saingan Liga-M 2021 melibatkan kempen Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala Cabaran manakala saingan Piala FA dibatalkan untuk musim kedua berturut-turut.

Bagi saingan Liga Premier, hanya 11 pasukan bertanding berbanding 12 pada musim lepas dengan empat pasukan berstatus feeder akan mengharungi musim mencabar bersaing bersama tujuh pasukan yang memburu dua slot teratas di penghujung musim.

Penampilan pendatang baharu Skuad Projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN) yang dibarisi antaranya graduan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) bakal menyemarakkan keseluruhan 110 perlawanan Liga Premier.

Kehadiran Skuad Projek FAM-MSN bimbingan Ketua Jurulatih Yusri Che Lah juga membolehkan peminat menilai kemajuan tahap pembangunan pemain remaja di negara di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Diharap pada musim tidak akan ada lagi pasukan yang dikenakan pemotongan tiga mata dan aksi perlawanan liga berjalan lancar selepas saban musim peminat disajikan dengan isu pemotongan mata susulan masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan.

Tindakan tegas sebelum ini serta proses penswastaan yang telah dilalui seharusnya dijadikan sebagai iktibar dan teladan buat kesemua pasukan untuk merancang kewangan lebih tersusun selaras misi memperkasakan martabat bola sepak negara. – BERNAMA

- Advertisement -