Kerajaan PN utama kesejahteraan rakyat

PASIR MAS: Setahun lalu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pernah menjadi harapan rakyat tersungkur selepas 22 bulan mentadbir negara setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Konflik dalaman PH tidak mampu disembunyikan, biarpun premis kesalahan diletak ke bahu pihak lain.

Drama politik yang tidak berkesudahan menyaksikan persaingan merebut jawatan Perdana Menteri antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad.

Kemelut itu berakhirnya selepas Dr Mahathir tiba-tiba meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu. Tindakan itu menyebabkan kabinetnya gugur dengan sendiri.

Mengakhiri kemelut itu muncul Muhyiddin Yassin menjadi penyelamat bagi meredakan krisis tersebut. Dan akhirnya beliau diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Advertisement

Muhyiddin mengetuai gabungan yang dinamakan Perikatan Nasional (PN). Isnin lepas genap setahun PN mengambil alih tampuk pemerintahan menggantikan PH.

Ketika kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negara, pandemik Covid-19 semakin membiak. Kes positif pertama dikesan membabitkan pelancong dari China yang memasuki negara ini melalui Singapura.

Ketika itu kerajaan PH enggan menutup pintu sempadan negara biarpun ada desakan supaya kerajaan bertindak tegas.

Sesiapa pun yang menerajui negara terpaksa berdepan dengan laluan sukar. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.

Namun Muhyiddin bertindak cepat biarpun sebelum ini berulang kali Menteri Kewangan PH, Lim Guan Eng mendakwa kerajaan berdepan hutang hampir RM1 trilion.

Kerajaan PN wajar dipuji dalam suasana berhadapan tempoh mencabar pandemik Covid-19, namun sanggup menggunakan dana yang ada bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

Sedangkan sebelum itu kerajaan PH sering mendakwa kerajaan tiada duit dan hutang bertimbun. Namun Muhyiddin mengambil langkah berani.

Pelbagai pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan dalam tempoh setahun lalu sehingga memberikan banyak impak positif kepada kesejahteraan hidup rakyat.

Rakyat gembira

Hakikat itu diakui pelbagai pihak yang ditemui, di mana mereka melahirkan perassaan gembira dengan pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan.

Seorang penduduk dari Pasir Mas Siriyanu Ibrahim, 49, berkata, kemelut politik yang berlaku sebelum ini dapat diselesaikan kerajaan sekarang demi kesejahteraan ummah.

Katanya, kerajaan PN dianggap benar-benar peduli dan mengambil berat tentang nasib yang menimpa rakyat khususnya dalam suasana pendemik Covid-19.

Menurutnya pelbagai pakej rangsangan diberi kepada rakyat bermula golongan B40 sehingga majikan dengan program subsidi upah.

“Sedangkan sebelum ini kerajaan PH hanya berjanji semata-mata seperti contoh nak hapuskan tol tetapi tidak berlaku selepas mendapat kuasa.

“Kerajaan PH juga dilihat tidak banyak mengendahkan suara rakyat sebaliknya meneruskan agenda mereka sendiri,” katanya.

Seorang peniaga Zawiah Che La, 48, berkata, kerajaan PN melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Menurutnya dalam tempoh setahun kerajaan PN melakukan yang terbaik termasuk mengeluarkan Malaysia daripada suasana yang tidak harmoni.

Seorang lagi penduduk Zubaidah Mohamad, 59, berkata, konflik perebutan kuasa yang pernah berlaku ketika era PN tidak berulang sekarang.

“Alhamdulillah, Allah pelihara negara kita daripada pimpinan yang rakus dan tamak kuasa dan Allah gantikan dengan sebuah kerajaan yang dipimpin Muhyiddin Yassin memberi banyak manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan PN menggunakan kuasa dan kepercayaan rakyat dengan memberi perkhidmatan lebih baik dalam mengharungi pandemik Covid-19 sekarang. – HARAKAHDAILY 3/3/2021