Kelantan bina kilang hasil cuka buah-buahan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan (PKPK) akan membina kilang menghasilkan cuka daripada buah-buahan tempatan.

Kilang itu akan menghasilkan cuka makanan berkualiti daripada rambutan dan dokong, terletak di Pengkalan Chepa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM250,000 bagi melaksanakan projek tersebut.

Katanya, UMK membuat kajian mengenai potensi kedua-dua buah-buahan tersebut sebagai produk yang mampu menyaingi produk cuka antarabangsa termasuk cuka epal.

- Advertisement -

“Dengan kejayaan ini kita berharap dapat mengatasi isu lambakan buah-buahan tersebut ketika musimnya. Buah kita kumpul dan kilangkan bagi menghasilkan cuka makanan berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama teknologi dan pasaran bagi mengkomersilkan cuka rambutan dan dokong antara UMK dan PKPK di sini semalam.

Turut hadir Naib Canselor UMK Prof Dato’ Dr Noor Azizi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pertanian Nik Fazul Fazlee Nik Othman dan Penyelidik UMK Prof Madya Dr Seri Intan Mokhtar.

Tuan Saripudin berkata melalui kerjasama itu juga PKPK turut merangka strategi bagi memasarkan produk terbabit sehingga mampu menembusi pasaran luar negara.

Menurutnya juga kilang yang akan beroperasi pertengahan tahun ini yang mampu memproses enam tan rambutan dan lima tan dokong dengan memberi pulangan sehingga RM500,000.

Produk terbabit dihasilkan Dr Seri Intan yang merupakan pensyarah Fakulti Asas Tani, menggunakan buah-buahan tempatan. – HARAKAHDAILY 3/3/2021

- Advertisement -