Setahun PN: Rakyat faham PAS sebagai ‘king maker’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setelah genap setahun terbentuknya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam, ternyata PN lebih berjaya daripada Pakatan Harapan (PH) meskipun menghadapi masalah global pandemik Covid-19.

Tidak boleh dinafikan kerajaan PN lebih berjaya daripada PH sungguhpun hambatan pandemik Covid-19 sememangnya satu cabaran yang sangat besar di samping kemuraman ekonomi dunia.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki, PAS pula akan terus berperanan sebagai pengukuh kerajaan PN melalui usaha terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini menjadi pencetus tumbangnya kerajaan PH.

Lebih daripada itu, katanya selepas hampir tiga tahun pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), rakyat Malaysia sudah boleh memahami makna king maker.

- Advertisement -

Beliau berkata, sebelum PRU14 Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menyasarkan parti itu berperanan sebagai king maker selepas PRU yang dipandang sinis oleh banyak pihak terutama lawan politik PAS.

Katanya, berdasarkan trend PRU sejak tahun 2008 lagi, PAS mengunjurkan tiada mana-mana gabungan politik dapat membentuk kerajaan melainkan bergabung dengan gabungan politik yang lain.

Oleh kerana itu, ujarnya PAS mengambil satu langkah kurang popular membentuk gabungan politik ketiga iaitu Gagasan Sejahtera (GAGASAN).

“Demi untuk mengimbangi pengaruh dua gabungan politik yang lain, BN dan PH, PAS bertanding 158 kerusi parlimen bagi memperolehi cukup kerusi parlimen dan DUN untuk berperanan sebagai king maker,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada ketika yang sama, jelas beliau dengan bertanding sebanyak itu, dapat menunjukkan realiti sokongan rakyat kepada PAS di seluruh negara berdasarkan peratusan undi popular yang diraih.

Tambahnya, keputusan PRU14 tidaklah begitu tersasar jauh daripada unjuran PAS, kerana PH yang memenangi PRU tersebut tidak boleh membentuk kerajaan yang stabil melainkan dengan sokongan Warisan, parti yang tidak bergabung dalam PH.

“Sasaran kerusi parlimen PAS sememangnya lari sedikit, manakala sasaran kerusi DUN hampir tercapai,” ujarnya lagi.

Katanya, sejurus sahaja selepas PRU14, PAS tidak pernah berhenti daripada sasaran berperanan sebagai king maker, malah Presiden PAS begitu yakin kerajaan PH tidak boleh bertahan lama.

“PAS terus mengatur strategi untuk menjadi king maker meskipun pelbagai pihak melihat sasaran PAS itu telah berkubur,” ujar beliau.

Tambahnya, sepanjang 22 bulan pemerintahan PH, gabungan tersebut sentiasa berhadapan dengan masalah tidak sepakat walaupun mereka menamakan gabungan mereka ‘Pakatan’ Harapan.

Katanya, prestasi kerajaan PH sangat teruk sehingga mereka digelar dengan kerajaan ‘Kakistokrasi’ atau ‘Gagalkerasi’.

Menurutnya lagi, gabungan pembangkang pula BN dan GAGASAN semakin jitu seperti yang dapat dilihat di parlimen serta luar parlimen melalui badan bertindak menangani isu dan penubuhan jentera bersama menghadapi pilihan raya kecil (PRK).

“Kemuncak kepada kejituan ini ialah penubuhan Muafakat Nasional (MN) iaitu kira-kira lima bulan sebelum kejatuhan kerajaan PH,” katanya.

Beliau menambah, pada 22 Februari 2020, MN telah mengadakan permukiman pertama yang menyaksikan satu peristiwa yang amat bersejarah apabila PAS dan Umno mengatur hala tuju bersama.

Sebaik sahaja permukiman itu berakhir, jelasnya pada 23 Februari 2020 perpecahan PH sampai ke kemuncak apabila Bersatu telah membuat keputusan untuk keluar daripada PH dan diikuti oleh pasukan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Tambah Zuhdi, Langkah Sheraton tersebut memang berlaku secara tiba-tiba seperti serangan subuh (dawn raid), seumpama usaha memiliki kembali aset-aset negara yang dimiliki Guthrie.

Akhirnya, kata beliau pada 24 Februari 2020, kerajaan PH secara rasmi tumbang apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri.

“Setelah hampir lima hari Malaysia dipimpin oleh Perdana Menteri interim akhirnya MN, Bersatu, Pasukan Dato’ Seri Azmin, GPS dan beberapa ahli parlimen Sabah mencapai persetujuan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Secara rasmi terbentuklah sebuah kerajaan baharu yang secara tidak rasmi dinamakan Perikatan Nasional,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -