Projek PSN: 139 nelayan Pangkor bakal miliki rumah

LUMUT: Kira-kira 139 nelayan dijangka memiliki rumah sendiri selewat-lewatnya April ini, manfaat daripada Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Teluk Bharu, Pulau Pangkor, kata Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Razman Zakaria.

Razman berkata daripada jumlah itu, 37 nelayan telah pun menetap di pangsapuri yang ditawarkan di bawah projek berkenaan sementara selebihnya sedang diproses dan dijangka selesai pada bulan ini dan mereka boleh mula menetap di pangsapuri tujuh tingkat itu selewat-lewatnya bulan depan.

“Setakat ini kami telah menerima 86 permohonan dan sedang meneliti kesemua permohonan tersebut sebelum membuat tawaran kepada mereka untuk menetap di sini.

“Senarai nama sudah ada dan hanya nelayan dari komuniti Pulau Pangkor sahaja dapat menikmati manfaat program ini. Sejak pangsapuri ini siap pada tahun 2018, seramai 37 nelayan telah menetap di pangsapuri berkenaan secara berperingkat,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PSN berkenaan bersama Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak, Mohamad Rizal Sahari.

Razman berkata antara syarat kelayakan di bawah projek PSN itu adalah nelayan berkenaan mestilah merupakan ahli kepada Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pangkor iaitu nelayan tulen yang diiktiraf persatuan nelayan tersebut.

“Selain itu, nelayan berkenaan juga mestilah penduduk Pulau Pangkor dan pemegang Kad Nelayan yang dikeluarkan Jabatan Perikanan,” katanya.

Razman berkata projek pangsapuri itu dibina dengan kos RM16 juta yang mempunyai 139 unit dengan keluasan 860 kaki persegi dan dijual dengan harga RM45,000 seunit.

“Setiap unit rumah ini dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan bayaran bulanan RM150 sebulan selama 25 tahun sebelum pembayar yang juga warga nelayan memiliki rumah tersebut,” katanya.

Pangsapuri berkenaan merupakan antara projek PSN selain di Pasir Bogak, Pulau Pangkor yang mula dibina pada tahun 2014 dengan kos keseluruhan bernilai RM24.4 juta. – BERNAMA