Pembakaran terbuka punca kualiti udara tidak sihat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar Dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, punca kualiti udara tidak sihat adalah disebabkan peningkatan kes pembakaran terbuka di dalam negara susulan keadaan cuaca panas dan kering yang bermula sejak pertengahan Februari 2021 sehingga kini.

Katanya, keadaan sedikit berjerebu di Lembah Klang yang dialami pada hari ini adalah berpunca daripada kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 34 hektar sejak 24 Februari lalu.

Beliau juga memaklumkan bahawa berdasarkan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan di laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) di http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html pada hari ini jam 4 petang menunjukkan sembilan kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 52 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana; dan tujuh kawasan mencatatkan bacaan status kualiti udara pada tahap tidak sihat.

- Advertisement -

Tambahnya, ia melibatkan lima stesen di Selangor iaitu di Johan Setia, Klang (188), Banting (167), Petaling Jaya (133), Klang (107), Shah Alam (104), satu stesen di Kuala Lumpur iaitu Cheras (111) dan satu stesen di Pahang iaitu di Rompin (133).

Beliau menjelaskan pembakaran terbuka daripada aktiviti pertanian tanah gambut di Johan Setia, Klang yang mula dikesan pada 5 Februari lalu dengan lima lokasi kebakaran melibatkan anggaran jumlah keluasan tiga ekar telah menyebabkan kualiti udara tidak sihat di kawasan tersebut.

Kebakaran di Hutam Simpan Kuala Langat Selatan.
Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Jabor Jerangau, Kuantan, Pahang.
Kebakaran hutan gambut di Sg. Miang Pekan, Pahang.

“JAS juga turut mengesan kebakaran belukar di kawasan Rompin dengan anggaran keluasan 10 ekar pada hari ini yang meningkatkan bacaan IPU di stesen kualiti udara Rompin, Pahang,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pihak JAS untuk menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kes-kes pembakaran terbuka.

Menurutnya lagi, pihak JAS juga telah menyediakan enam kertas siasatan, mengeluarkan satu kompaun dan empat notis arahan serta arahan di lapangan.

“Tindakan tegas telah diambil kepada pemilik tanah, operator tapak pelupusan sampah dan pelaku yang menyebabkan pembakaran terbuka yang menjejaskan kualiti udara,” jelas beliau lagi.

Pada hari ini, 15 kejadian kebakaran dikesan di dalam negara iaitu:-

10 kawasan hutan dan belukar tanah gambut

i. Kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Selangor;
ii. Kawasan Johan Setia, Klang;
iii. Kawasan tanah gambut di Parit Juno, Johor;
iv. Kawasan hutan dan belukar tanah gambut di Sungai Miang, Pahang;
v. Kawasan belukar tanah gambut Bt. 9, Sijangkang, Selangor;
vi. Kawasan belukar tanah gambut di Parit Lajis/Parit Zin, Muar, Johor;
vii. Kawasan tanah gambut di Kampung Lepau, Johor; dan
viii. Kawasan belukar di Bandar Nusaputra, Presint 1 Putra Perdana, Sepang, Selangor.
ix. Belukar tanah gambut berhampiran tapak lama Summerset Resort, Rompin, Pahang; dan
x. Belukar tanah gambut bersebelahan dengan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Gebeng, Pahang.

Tujuh tapak pelupusan sampah

i. Tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor, Pahang;
ii. Tapak pelupusan sisa pepejal Pulau Burong, Pulau Pinang;
iii. Tapak pelupusan sampah haram Astana Gemilang, Batu Caves, Selangor;
iv. Tapak pelupusan sampah haram Jalan Industri Velox, Bandar Coutry Homes, Rawang, Selangor;
v. Tapak pelupusan sampah haram Sungai Purun, Hulu Langat, Selangor;
vi. Tapak pelupusan sampah Tumpat, Kelantan; dan
vii. Tapak pelupusan sampah Ampang Jajar, Pulau Pinang.

JAS sedang memantau rapi status dan tren kualiti udara setiap jam berikutan bacaan IPU telah mencecah di tahap ‘tidak sihat’ di kawasan-kawasan yang terlibat.

Semua pihak terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my. – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -