Muslimat ziarah, serah sumbangan kepada GAPS

- Advertisement -

CYBERJAYA: Dewan Muslimat PAS Malaysia telah menziarahi dan menyerahkan cek hasil daripada sumbangan orang ramai kepada Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS) sebanyak RM10,000.

GAPS merupakan NGO yang mengumpulkan anak-anak kalangan orang kelainan upaya (OKU) di mana membantu mereka dari sudut pendidikan untuk melakukan aktiviti harian lebih bermanfaat.

Rombongan ziarah ini dipimpin oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh diiringi Ahli-ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan. 

- Advertisement -

Sumbangan tersebut telah diterima sendiri Pengurus GAPS, Rafidah @ Rafizah Ahmad pada pertemuan di premis GAPS di Tamarind Suites, Persiaran Multimedia, di sini pada pagi semalam.

Menurut Rafizah, 46, sumbangan ini dapat membantu anak-anak tersebut bagi memenuhi beberapa keperluan hidup mereka yang tentu sangat berhajat kepada sokongan kebajikan.

Juga katanya, sokongan kepada aspek pendidikan terutamanya di mana ia amat perlu untuk dititikberatkan kerana mereka juga berhak untuk menjadi seperti kanak-kanak normal yang lain

“Harap pendidikan khas untuk kanak-kanak OKU ini lebih mendapat perhatian dan keutamaan daripada kerajaan supaya kanak-kanak ini dapat belajar untuk hidup seperti orang lain,” ujarnya.

Selain itu beliau turut berkata, pendidikan ini juga penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum terhadap kewujudan kanak-kanak OKU Palsi Serebrum ini dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Ustazah Nuridah turut berharap agar masyarakat menyedari keberadaan OKU kerana mereka merupakan anugerah Allah di muka bumi ini dan dianjurkan untuk berbuat baik. 

Beliau juga merakamkan penghargaan terima kasih kepada para dermawan atas sokongan dan sumbangan yang diberikan dalam usaha untuk menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU) ini. – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -