Melindungi para pelarian dan pencari suaka di Malaysia

- Advertisement -

KUMPULAN Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM)- Polisi Pelarian di Malaysia telah ditubuhkan pada November 2019 dengan hasrat menyediakan pentas kepada Ahli-ahli Parlimen daripada semua parti politik untuk membincangkan dan mengkaji dengan lebih teliti isu pelarian, serta mencuba untuk menghasilkan cadangan yang selaras dengan norma dan standard Antarabangsa serta sesuai dengan konteks sosial, ekonomi dan budaya Malaysia, kepada pihak kerajaan atas polisi-polisi yang berkenaan.

KRPPM-Polisi Pelarian juga mengambil maklum bahawa perintah pergantungan sementara telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi berkenaan dengan kes penghantaran pulang 1,200 rakyat Myanmar pada 23 Februari 2021 atas keprihatinan bahawa termasuk beberapa kes yang berstatus pelarian, pencari suaka serta kanak-kanak yang berisiko dipisahkan dari ibu bapa atau penjaga mereka sekiranya dihantar pulang ke Myanmar. 

- Advertisement -

KRPPM- Polisi Pelarian berpendapat bahawa Jabatan Imigresen semestinya mengikuti perintah mahkamah dan mengizinkan waktu yang mencukupi bagi proses pengesahan individu yang berkenaan untuk memastikan individu-individu yang memerlukan perlindungan tidak dikembalikan ke negara asal mereka di mana mereka menghadapi risiko penganiayaan.

KRPPM- Polisi Pelarian di Malaysia menghormati sepenuhnya amanat dan peranan Jabatan Imigresen, serta usahanya untuk mengurangkan jumlah tahanan di dalam depot Imigresen. Namun, KRPPM-Polisi Pelarian meminta Jabatan Imigresen menjelaskan berapa individu pelarian yang telah dikenalpasti oleh UNHCR yang juga turut disenaraikan dalam senarai deportasi serta mengapa pelarian tersebut disenaraikan. Sedangkan kenyataan jabatan Imigresen sebelum ini menyatakan semua dalam senarai adalah PATI dan tanpa termasuk pelarian. Bagaimana proses verifikasi dijalankan dan apa keadaan terkini bagi individu yang telah dikenal pasti sebagai pelarian?

Walaupun Malaysia belum menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kita mempunyai tradisi lama menyambut pelarian dengan alasan kemanusiaan yang telah kita lakukan dalam banyak kesempatan. Kami juga memperhatikan perbincangan berterusan dan pengembangan prosedur dan program pengurusan pelarian yang sesuai oleh kerajaan. Kerana demikian, kami mendesak kerajaan supaya segera mencari solusi yang terbaik untuk mengatasi masalah verifikasi pelarian dan pencari suaka di Malaysia.

Dalam hal ini, kami mengusulkan agar kerajaan mewujudkan sebuah mekanisme koordinasi yang kredibel dan dapat dipertanggungjawabkan untuk melakukan proses verifikasi terhadap tahanan Imigresen sebelum dihantar pulang ke negara asal. Mekanisme tersebut harus mengesahkan:

(i) Status individu (UNHCR, kanak-kanak, dan lain-lain), dan 
(ii) Kesediaan (voluntariness) untuk dihantar pulang.

Mekanisme tersebut sekurang-kurangnya harus melibatkan Wisma Putra, Jawatankuasa Bersama (Joint Task Force)untuk Pelarian, dan sebuah badan independen, seperti SUHAKAM. Dalam hal ini, KRPPM-Polisi Pelarian sebagai entiti rentas parti turut menawarkan perkhidmatan kami sebagai sebuah pihak ketiga yang objektif untuk menyokong mekanisme ini dan memfasilitasi pengantaraan dan koordinasi antara Imigresen, Joint Task Force dan UNHCR untuk memastikan bahawa prinsip non-refoulement tidak dilanggar lagi pada masa akan datang.

Sekian terima kasih.

YB CHAN MING KAI (Alor Setar)
Pengerusi KRPPM-Polisi Pelarian 
+60 12-515 1706

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN (Sik) 
Setiausaha KRPPM-Polisi Pelarian 
+60 17-560 6131 – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -