Kerajaan Malaysia ‘pro-business’, alukan pelabur

PAGI ini, saya menerima kunjungan delegasi syarikat pengeluar kertas dan ‘paperboard’ terbesar di Asia yang telah memberikan komitmen untuk menambah pelaburan sebanyak RM5.4 bilion di Malaysia.

Delegasi syarikat Nine Dragons Paper (Holdings) Limited itu diwakili oleh Pengerusinya, Puan Cheung Yan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Encik Zhang Cheng Fei. Hadir sama Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), YBhg. Dato’ Azman Mahmud.

Sehingga Disember 2020, sejumlah 572 projek perkilangan dari China bernilai RM78.61 bilion telah diluluskan oleh pihak MIDA, termasuk Kumpulan Nine Dragons Paper (Holdings) Limited. Syarikat ini tersenarai di papan utama Bursa Hong Kong dan menduduki senarai China Fortune 500.

Advertisement

Pelaburan Kumpulan ini di Malaysia, merangkumi dua fasiliti perkilangan iaitu ND Paper (Malaysia) Sdn Bhd di Bentong, Pahang, yang melibatkan pengambilalihan kilang kertas dan pulpa dengan pelaburan keseluruhan RM1.2 bilion dan ND Paper Malaysia (Selangor) Sdn Bhd di Banting, dengan pelaburan RM4.2 bilion. Kedua-dua projek ini akan menjana 2,180 peluang pekerjaan dengan hampir 90 peratus adalah rakyat tempatan. Projek di Banting dijadual beroperasi pada tahun 2022. 

Saya tegaskan bahawa Kerajaan Malaysia adalah amat ‘pro-business’ dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu ke dalam negara, dan bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

Penambahan pelaburan oleh Kumpulan Nine Dragons Paper ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka. Semoga ekonomi negara terus pulih dan bertambah kukuh.

YAB TAN SRI DATO’ MUHYIDDIN MOHD YASSIN
Perdana Menteri Malaysia – HARAKAHDAILY 2/3/2021