Berfikir di luar kotak, selesaikan masalah

- Advertisement -

ADA sebuah pangsapuri yang terletak agak jauh dari jalan besar. Untuk sampai kepada pembangunan tersebut penduduk perlu melalui satu jalan yang sunyi lebih kurang 500 meter dari jalan utama. Di kiri dan kanan itu terdapat semak samun dan hutan-hutan kecil. Bas hanya berhenti di jalan utama dan penduduk yang menaikinya perlu berjalan kaki untuk pergi ke kerja atau pulang ke rumah.

Memandangkan jalan itu sunyi, telah berlaku kejadian rompakan dan samun. Bukan sahaja mereka yang berjalan kaki menjadi mangsa tetapi mereka menunggang motosikal dan basikal juga disekat. Kejadian ini amat merungsingkan penduduk terutamanya Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan AJK Surau di pangsapuri tersebut.

Ada yang mencadangkan mereka memasang tiang-tiang lampu di sepanjang jalan itu. Mereka telah menghubungi ADUN, Ahli Majlis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi mendapat jawapan tidak ada peruntukan. Kemudian mereka bercadang melantik pengawal keselamatan untuk membuat rondaan. Walau bagaimanapun cadangan ini dibantah kerana ia melibatkan kenaikan yuran penyelenggaraan. Akhirnya keputusan dibuat agar penduduk bergilir-gilir membuat rondaan.

- Advertisement -

Untuk memudahkan rondaan dibuat maka didirikan pondok-pondok di sepanjang jalan itu untuk mereka yang meronda berehat. Lama kelamaan terdapat mereka yang menumpang untuk menjaja di pondok-pondok tersebut. Ada yang menjual kuih, ada yang menjual nasi lemak, ada yang menjual buah-buahan dan barang-barang lain. Hari demi hari pondok-pondok itu menjadi gerai dan gerai menjadi warung yang menjual dan memasak pelbagai jenis makanan.

Akhirnya jalan yang dahulunya sepi menjadi meriah dengan mereka yang berniaga, membeli dan menjamu selera. Rondaan tidak lagi diperlukan. Tidak perlu lagi tiang-tiang lampu kerana lampu dari warung-warung dan gerai-gerai itu telah memadai. Penduduk tidak lagi takut untuk pergi bekerja atau pulang ke rumah. Tidak ada siapa yang berani merompak atau menyamun.

JMB pula telah mengambil inisiatif untuk membersihkan sampah-sampah yang ditinggalkan oleh para peniaga dengan sedikit bayaran. Mereka juga mengadakan perbincangan dengan PBT agar tidak menyaman peniaga. Maka selesailah masalah penduduk di pangsapuri itu.

Satu lagi pangsapuri pula dibebani dengan masalah-masalah yang berbeza. JMB di situ menghadapi masalah penduduk yang tidak mahu membayar yuran penyelenggaraan dan sampah yang melimpah-limpah di rumah sampah. Pelbagai alasan diberi oleh mereka yang enggan membayar yuran tersebut. Ada yang mengadu pendapatan mereka tidak mencukupi dan banyak lagi. Sementara rumah sampah di situ akan penuh sebelum sempat diangkat oleh lori-lori sampah

JMB telah mengeluarkan notis kepada penduduk dan memasang papan tanda tetapi masih tidak berhasil. Mereka juga terfikir untuk menggunakan khidmat peguam menghantar notis tuntutan tetapi ia melibatkan kos. Di masa yang sama salah seorang dari mereka telah mencadangkan satu program yang pada mulanya dilihat tidak ada kaitan dengan masalah yang mereka hadapi. Walau bagaimanapun ia telah dapat menyelesaikan kedua-dua masalah ini serentak.

Program itu adalah program kitar semula di mana JMB telah membeli barang-barang yang boleh dikitar semula seperti kotak, besi, botol, tin minuman dan barang-barang terpakai yang lain. Satu pondok kecil telah dibina. Walau bagaimanapun JMB tidak membeli dengan duit tetapi dengan kupon yang boleh digunakan untuk membayar yuran penyelenggaraan. JMB telah turut mendapat persetujuan dari beberapa kedai dan warung di sekitar kawasan tersebut untuk menerima kupon-kupon itu untuk membeli barang atau makanan. 

Namun begitu segala hutang akan ditolak terlebih dahulu sebelum penduduk diberikan kupon. JMB kemudian telah menjual barang-barang yang dibeli kepada pusat kitar semula di luar dengan sedikit keuntungan. Akhirnya program ini telah berjaya mengurangkan hutang yuran penyelenggaraan dan juga sampah yang perlu diangkat.

Pangsapuri ketiga pula menghadapi masalah dengan kawasan-kawasan lapang yang terbiar di pembangunan mereka. Kawasan-kawasan tersebut berada di dalam sempadan pembangunan mereka justeru itu bukan di bawah bidangkuasa PBT. Ia juga adalah terlalu kecil untuk dijadikan padang permainan. Sebulan sekali JMB terpaksa mengupah orang untuk membersihkan semak samun yang tumbuh.

Walau bagaimanapun semak samun di situ tumbuh dengan cepat sehingga ia menjadi tempat pembiakan serangga dan haiwan-haiwan yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk. JMB perlu membersihkan kawasan tersebut dengan lebih kerap tetapi ia melibatkan kos dan mereka tidak mampu untuk menampungnya. Tambahan pula terdapat penduduk yang tidak bertanggungjawab yang telah sesuka hati membuang sampah di situ.

Setelah berbulan-bulan memikirkan masalah ini, akhirnya JMB telah menerima cadangan agar kawasan-kawasan lapang itu dijadikan kebun komuniti. Tawaran telah dibuka kepada penduduk untuk bercucuk tanam di situ. Kebetulan pula ramai yang berminat dan kawasan-kawasan itu bertukar menjadi kebun yang mengeluarkan pelbagai hasil pertanian. Ada di antara mereka yang telah berkongsi hasil tanaman dengan penduduk. Maka selesailah masalah yang dihadapi oleh penduduk.

Tiga contoh ini merupakan cara penyelesaian masalah yang memerlukan pemikiran di luar kotak. Selalunya kita hanya mencari penyelesaian secara langsung (direct) kepada sesuatu masalah tetapi kadang-kala ia bukan satu penyelesaian yang terbaik. Sepertimana di dalam contoh-contoh tersebut ia melibatkan kos dan belum tentu dapat memberi penyelesaian yang menyeluruh dan berkesan. Walau bagaimanapun kadang-kala program-program yang pada mulanya dilihat tidak ada kena mengena dengan masalah asal dapat menyelesaikannya.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
2 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -