Agak gementar sebelum disuntik vaksin – MB

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan mengakui sebelum menerima suntikan vaksin perasaannya berdebar kerana pelbagai versi diceritakan orang ramai.

Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, namun sebaik sahaja menerima vaksin, boleh dikatakan tidak sakit dan tidak rasa apa-apa pun.

“Suntikan ini biasa sahaja. Jadi saya nak beritahu orang ramai supaya jangan takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya selepas menerima suntikan vaksin pada program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di peringkat negeri di Dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Beliau berkata, seramai 21,645 petugas barisan hadapan di negeri itu akan menerima vaksin fasa pertama sehingga akhir April ini.

- Advertisement -

Daripada jumlah itu katanya seramai 1,416 orang akan terima vaksin sehingga Khamis ini di Dewan Teratai di Kota Darulnaim.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan akan menerima 43,290 dos vaksin secara berperingkat sepanjang Mac ini termasuk 18,720 dos vaksin sudah diterima minggu lalu.

Tepat jam 11.15 pagi tadi Ahmad menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech, kemudian diikuti Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan.

Turut menerima suntikan Ketua Polis Negeri Kelantan, Dato’ Shafien Mamat bagi dos pertama.

Kelmarin tular di media sosial kononnya 200 ahli SUK Kelantan ‘potong que’ bagi menerima vaksin Covid-19. Berita itu dinafikan kerajaan negeri.

Malah tidak kelihatan jumlah ahli SUK yang diviralkan tersebut di Kota Darulnaim hari ini. – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -