15 pemimpin penerima awal vaksin di Kelantan

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi pemimpin pertama negeri ini yang berbuat demikian.

Tepat jam 11.15 pagi beliau menerima suntikan di Dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim, yang menjadi lokasi pelancaran program imunisasi Covid-19 di Kelantan.

Sebagai simbolik menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di peringkat negeri itu seramai 15 pimpinan kerajaan menerima suntikan vaksin.

Turut disuntik Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Ammar Abdullah, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin dan Ketua Polis Negeri Kelantan, Dato’ Shafien Mamat menerima vaksin dos pertama.

Advertisement

Selain itu seramai 27 petugas barisan hadapan termasuk kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut menerima suntikan vaksin Covid-19 yang diadakan secara berperingkat.

Pada sesi petang pula akan dimulakan program imunisasi kepada petugas barisn hadapan lain, di mana program imunisasi Covid-19 akan diadakan selama tiga hari berturut-turut.

Program suntikan imunisasi tersebut Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mensasarkan sebanyak 70 peratus golongan berumur 18 tahun ke atas akan menerima suntikan.

Program imunisasi Covid-19 peringkat kebangsaan bermula minggu lepas di mana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penerima vaksin Pfizer-BioNTech kemudian diikuti Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pelancaran suntikan vaksin di Malaysia antara yang terawal di rantau ini. Malah pada hari sama pelancaran program serupa diadakan di Korea Selatan. – HARAKAHDAILY 2/3/2021