Yik antara institusi pendidikan Islam unggul

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (Yik) merupakan antara institusi yang unggul dalam konteks sektor pendidikan Islam di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan, Kelantan menjadi pusat pendidikan Islam sejak dahulu sehingga digelar Serambi Mekah.

Katanya, gelaran itu diberi memandangkan terdapat banyak institusi pengajian pondok dan sekolah agama di Kelantan.

“Yik sekarang mengurus sebanyak 93 sekolah dan ia merupakan kesinambungan daripada pusat pendidikan pondok sebelum ini.

Advertisement

“Bagaimanapun pendidikan yang dikendalikan Yik sekarang lebih moden,” katanya pada bual bicara bersama Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri (UPKN) di sini hari ini.

Program yang bertajuk ‘semuka’ itu disiarkan secara langsung melalui Facebook UPKN. Penolong Pengarah Penerangan UPKN Raduan Awang Hamat bertindak sebagai moderator.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan negeri menaik taraf skim guru-guru
Yik bagi menjaga kebajikan mereka, di samping memperkasakan aspek pengurusan sekolah.

Menurutnya juga Yik merupakan agensi kerajaan negeri yang menerima peruntukan terbesar daripada kerajaan negeri setiap tahun.

“Lebih RM100 juta diperuntukkan bagi meneruskan agenda kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar. Aspek pendidikan Islam sentiasa diberi keutamaan walaupun kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2021