Vaksin: Jangan terpengaruh maklumat tidak sahih

- Advertisement -

KANGAR: Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli bersedia untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada bila-bila masa sahaja yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, orang ramai termasuk ahli dan penyokong PAS juga perlu bersedia menerima suntikan tersebut serta tidak mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin.

“Saya menyeru orang ramai terutamanya ahli PAS segera mendaftarkan diri di aplikasi My Sejahtera bagi mendapatkan giliran menerima suntikan.

- Advertisement -

“Dapatkan maklumat yang betul mengenai suntikan vaksin daripada golongan yang ahli dalam perkara tersebut.

“Jangan mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis hari ini.

Hari ini, Perlis melancarkan Program Suntikan Covid-19 kepada 342 petugas kesihatan di Klinik Kesihatan terpilih termasuk di Klinik Kesihatan Kampung Gial melibatkan sebanyak 180 orang,

Selain itu Klinik Kesihatan Beseri 108 orang dan Klinik Kesihatan Felda Chuping (54 orang).

Exco Bioteknologi & Teknologi Hijau dan Kesihatan Perlis Teh Chai Ann menjadi individu pertama di Perlis menerima suntikan vaksin Covid–19 Pfizer-BioNTech.

Kemudian disusuli Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof, Ketua Polis Negeri Perlis Dato’ Surina Saad, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim dan Penyelia Klinik Kesihatan Kangar Muhamad Nadhar Nazari. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -