Ujian implikasi untuk tentukan bidang kuasa mahkamah

- Advertisement -

KAEDAH untuk menentukan butiran yang menyentuh undang-undang peribadi orang Islam dan perintah agama Islam sama ada berada di bawah Senarai Persekutuan atau Senarai Negeri ialah dengan menggunakan ujian implikasi atau ‘implication test’.

Jika sekiranya suatu kesalahan terhadap perintah agama Islam ingin digubal berimplikasi bidang kuasa dan hukuman terhadap orang Islam dan bukan-Islam maka itu terletak dalam Senarai Persekutuan. Sebaliknya tertakluk pada Senarai Persekutuan, jika implikasi bidang kuasa dan hukumannya hanya terhadap orang Islam serta belum ada peruntukan setara di bawah Undang-undang Persekutuan maka itu terjumlah dalam Senarai Negeri. 

- Advertisement -

Ujian ini selaras dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagai Mahkamah Orang Islam. Kedudukan ini juga adalah selaras dengan prinsip Islam sebagai agama bagi Persekutuan di bawah Perkara 3(1) dan jaminan Perkara 3(4) Perlembagaan Persekutuan terhadap bidang kuasa negeri dalam agama Islam seperti mana termaktub dalam Senarai II.

Untuk mengelakkan kesamaran, kesalahan jenayah ialah istilah Perlembagaan yang digunakan buat kesalahan bagi orang Islam dan orang bukan-Islam. Justeru kesalahan jenayah Islam seperti curi, rompak, bunuh, rogol dan penipuan terjumlah dalam Senarai Persekutuan dan diistilahkan sebagai kesalahan jenayah kerana bidang kuasa dan implikasi hukumannya melibatkan orang Islam dan bukan-Islam di samping bersifat undang-undang awam.

Meskipun zina, minum arak, judi dan Qazaf tergolong dalam kesalahan jenayah Islam tetapi oleh kerana bidang kuasa dan implikasi hukuman hanya pada orang Islam, maka dari sisi istilah Perlembagaan, kesemuanya terjumlah sebagai kesalahan terhadap perintah agama di bawah Butiran I Senarai II.

 Prinsip di atas menjelaskan asbab pelanggaran di bawah undang-undang peribadi orang Islam terhadap perintah agama Islam yang mempunyai bidang kuasa dan implikasi kepada hanya orang Islam disebut sebagai satu kesalahan atau dalam bahawa Inggerisnya, an offence. Inilah bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti dinyatakan dalam Butiran I Senarai II, Jadual Ke-9.

Justeru, kesalahan zina bahkan minum arak dan Qazaf tidak diletakkan dalam Senarai Persekutuan atau ditakrifkan sebagai jenayah kerana kesalahan-kesalahan itu tidak menjadi kesalahan bagi orang bukan-Islam. Lantaran, perbuatan zina, minum arak dan Qazaf ditafsirkan sebagai kesalahan-kesalahan di dalam Senarai Negeri kerana kesemuanya bersifat peribadi bagi orang Islam sahaja. Tun Abdul Hamid Mohamad dalam kes Sulaiman Takrib telah menggariskan satu pemerhatian untuk membezakan satu kesalahan jenayah dengan kesalahan terhadap perintah agama Islam.

Dalam kes Ika Putra, YAA Ketua Hakim Negara menulis alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan telah merumuskan:

“[86] For the avoidance of doubt, the State Legislatures throughout Malaysia have the power to enact offences against the precepts of Islam. As decided by this Court in Sulaiman Takrib (supra) and other related judgments, the definition of ‘precepts of Islam’ is wide and is not merely limited to the five pillars of Islam. Thus the range of offences that may be enacted are wide. Having said that, the power to enact such range of offences is subject to a constitutional limit”.

Keputusan tersebut perlu dirai dan disanjung sebagai satu pengesahan bahawa ‘precepts of Islam’ (perintah agama) itu luas dan tidak terbatas kepada lima rukun Islam.

Bahkan kedudukan ‘precepts of Islam’ juga tidak hanya apa yang terjumlah dalam Senarai II Jadual Ke-9. Butiran I Senarai II menyatakan, ‘pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;’ Disebut dalam Butiran I pewujudan dan penghukuman terhadap pelanggaran perintah agama.

Butiran I Senarai II di atas perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan; ia memberi maksud bahawa perintah agama Islam selain ditadbir oleh Negeri melalui Senarai II juga terkandung di bawah Senarai I di bawah pentadbiran Persekutuan.

Kedudukan perintah agama di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri membuktikan amalan yang selari dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan prinsip kedaulatan negara yang berlandaskan patuh syariah seperti terkandung dalam Sumpah Yang di-Pertuan Agong dan Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Justeru, selaras dengan prinsip kedaulatan sedemikian, Undang-undang Persekutuan dan Negeri perlu diharmonikan dengan prinsip perundangan Islam.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 1/3/2021 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -