Syariah: Bukan sahaja pertahan, malah diperkasakan

- Advertisement -


KUALA LUMPUR: Pada waktu Undang-undang Syariah diserang hebat oleh golongan-golongan tertentu secara sistematik, umat Islam tidak ada pilihan melainkan sama-sama bersatu dalam usaha mempertahan dan memperkasakannya.

Demikian kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Datuk Ahmad Marzuk Shaary dalam satu hantaran di Facebooknya, malam ini.

Justeru, ujarnya semua pihak yang berhasrat untuk melihat Undang-undang Islam dimartabatkan di tanah air ini perlu terus bekerja keras memberi penerangan dan memahamkan masyarakat mengenai bahaya gerakan yang cuba mencabar kedudukan undang-undang berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarrak v Kerajaan Negeri Selangor dan Anor, baru-baru ini.

“Namun begitu, saya melihat bahawa, sedikit sebanyak keputusan mahkamah ini pasti ada kesannya yang tersendiri terhadap Undang-undang Syariah negeri-negeri.

- Advertisement -

Apa yang dibimbangkan, katanya adalah pihak-pihak yang melakukan kesalahan yang bertentangan dengan hukum syarak dan didakwa di Mahkamah Syariah akan mengambil kesempatan dengan mencabar lebih banyak keabsahan Undang-undang Syariah yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri di mahkamah sivil.

“Oleh itu, kita sedang meneliti tindakan lanjut yang akan diambil susulan keputusan yang dibuat ini, bagi mempertahankan Undang-undang Syariah yang sekian lama digubal oleh negeri-negeri dengan perkenan Sultan.

“Sekiranya kita membiarkan sahaja lebih ramai pihak mencabar undang-undang sedia ada, kita khuatir akan sampai pada keadaan di mana Badan Perundangan Negeri seperti tidak ada kuasa lagi untuk membuat Undang-undang Jenayah Syariah sekali gus menghakis kuasa sultan-sultan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Selain itu, jelas beliau Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sudah diarah untuk bersidang dan berbincang bagi melihat penambahbaikan Undang-undang Syariah yang boleh dilaksanakan, khususnya berkenaan kesalahan jenayah syariah.

Menurutnya lagi, dari sudut pemerkasaan pula, sebagaimana yang telah dibentangkan dalam Parlimen sebelum ini, kerajaan sudah mempunyai Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah sehingga tahun 2025 yang melibatkan penggubalan empat akta baru dan pindaan terhadap tujuh akta sedia ada.

“Dalam isu RUU 355 misalnya, kerajaan komited meneruskan usaha pindaan secara tertib dan teratur di mana sekarang kita sedang menuju ke fasa rundingan bersama negeri-negeri yang dijangka selesai pada bulan Jun nanti,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, rundingan negeri-negeri akan melibatkan wakil-wakil seperti Ketua Pengarah JAKIM, Penasihat Undang-undang Negeri, Jabatan Agama, Mufti Negeri, Ketua Hakim Negeri, Ketua Penguatkuasa Syarie dan Ketua Pendakwa Syarie dan akan diadakan mengikut zon-zon yang ditetapkan.

Tambahnya, usaha agar undang-undang sivil yang berteraskan undang-undang lazim (common law) dapat diharmonikan dengan Undang-undang Syariah juga akan diletakkan sebagai langkah utama yang boleh dibuat dalam memperkasakan Undang-undang Syariah daripada sudut yang lebih besar.

“Namun yang demikian, ingin saya tegaskan bahawa, dalam kita memperkasakan Undang-undang Syariah, kita juga tidak boleh lalai dalam menjaga asas sedia ada supaya jangan sampai diruntuhkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -