Sidang Parlimen darurat julang prinsip demokrasi

Proklamasi Darurat tidak langsung mematikan fungsi legislatif.

- Advertisement -

PROKLAMASI Darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari 2021 merupakan suatu langkah paksaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19. Langkah tersebut tidak langsung membelakangkan Perlembagaan negara.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang menjunjung tinggi prinsip keluhuran Perlembagaan, setiap cabang jentera pentadbiran negara harus sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membenarkan sidang Parlimen diadakan ketika darurat jelas membuktikan bahawa Proklamasi Darurat tidak langsung mematikan fungsi legislatif. Dakwaan bahawa darurat menghalang persidangan Parlimen sepenuhnya ternyata tidak tepat.

Menurut Perlembagaan, sidang Parlimen malahan pilihan raya juga masih boleh diadakan meskipun negara berada dalam keadaan darurat. Undang-undang yang sedia ada masih boleh terus diamalkan tanpa sebarang perubahan.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, sidang Parlimen dan pilihan raya juga boleh ditangguhkan sekiranya darurat diisytiharkan. Undang-undang yang dilaksanakan ketika darurat boleh mengatasi segala peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri kecuali elemen unsur tradisi.

Perdana Menteri juga telah menegaskan dalam ucapan perutusan khas bahawa beliau sama sekali tidak berniat untuk menghalang diadakan sidang Parlimen mahupun pilihan raya.

Beliau turut mengulangi komitmen bahawa apabila keadaan pandemik Covid-19 sudah reda, maka pilihlah kerajaan yang rakyat inginkan. Pilihan raya akan diadakan sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas memperakukan bahawa negara sudah bebas sepenuhnya daripada ancaman pandemik Covid-19.

DR ILYAS ABDULLAH

Penggantungan sidang Parlimen sejak 11 Januari yang lalu telah menimbulkan pelbagai polemik dan salah faham di kalangan ahli-ahli politik dan juga rakyat. Kebimbangan tersebut berkait dengan dakwaan lumpuhnya cabang legislatif dengan Proklamasi Darurat.

Menurut peruntukan dalam Perlembagaan menerusi Perkara 150 (3) sidang Parlimen tetap boleh dilakukan. Namun, Perkara 150 (2B) juga membenarkan sidang Parlimen untuk ditangguhkan atau digantung ketika atau dalam keadaan darurat.

Proklamasi Darurat kali ini adalah berbeza sama sekali dengan darurat pada tahun 1969. Pada tahun 1969, kerajaan mengisytiharkan darurat ketika Parlimen sudahpun dibubarkan terlebih dahulu. Hal ini menyebabkan ketiga-tiga cabang pentadbiran negara digantung. Kekosongan yang ditinggalkan itu diambil alih oleh satu badan khas iaitu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Kabinet, Dewan Undangan Negeri atau Parlimen tidak akan terbubar secara automatik dengan Proklamasi Darurat melainkan ianya dibubarkan. Proklamasi Darurat kali ini diisytiharkan tanpa kerajaan terlebih dahulu membubarkan Parlimen. Hal ini bermaksud fungsi legislatif masih boleh berperanan untuk bersidang sekiranya mendapat perkenan YDPA. Malahan fungsi eksekutif juga berjalan seperti biasa.

Proklamasi Darurat oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri bukanlah dilakukan secara sewenang-wenangnya. YDPA atas sifat baginda sebagai ketua negara juga tertakluk kepada etika raja yang membolehkan baginda mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pelbagai pihak terlebih dahulu.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa negara berada di bawah tempoh darurat selama 43 tahun bermula pada tahun 1969 sehinggalah ditamatkan secara rasmi pada tahun 2012.

Ini membuktikan bahawa perjalanan pentadbiran negara dalam tempoh darurat tersebut bukanlah suatu masalah sehingga boleh menghakis amalan demokrasi negara. Dalam tempoh tersebut negara kita telah melalui beberapa siri persidangan, pembubaran Parlimen dan juga pilihan raya.

Titah YDPA supaya sidang Parlimen diadakan membuktikan bahawa fungsi Parlimen tidak dimatikan. Proklamasi Darurat kali ini adalah bagi memberi skop kuasa yang lebih luas kepada kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19. Dengan langkah paksaan tersebut, kerajaan boleh menumpukan untuk menguruskan ancaman pandemik Covid-19 dengan lebih baik.

Tindakan beberapa pemimpin politik yang mendesak untuk menghadap YDPA bagi memohon perkenan penarikan semula darurat adalah satu langkah ke belakang. Hal ini menunjukkan sikap sebenar pemimpin politik yang sentiasa rakus dengan pergelutan kuasa.

Rakyat juga harus memahami bahawa peruntukan dalam Perlembagaan di bawah Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan turut memberi kuasa kepada YDPA untuk menolak permintaan mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

Proklamasi Darurat kali ini membuktikan kebijaksanaan YDPA dalam mengimbangi antara tuntutan politik dengan tuntutan berkait kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Perlembagaan di bawah sub perenggan 14(1)b Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 2021 menyatakan bahawa Parlimen haruslah dipanggil, diprorog atau dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri.

Justeru titah baginda tersebut menjelaskan bahawa sistem pentadbiran negara masih menjunjung tinggi prinsip ketertinggian Perlembagaan.

Perkara berkaitan Proklamasi Darurat dan bagaimana pentadbiran negara dan juga perjalanan politik negara harus diurus dalam tempoh darurat jelas dinyatakan di dalam peruntukkan Perlembagaan. Justeru langkah memanggil sidang Parlimen selepas ditangguhkan buat seketika adalah selari mengikut peruntukan Perlembagaan negara.

DR. ILYAS ABDULLAH
>>>Penulis adalah Pensyarah Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM Pahang Kampus RaubHARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -