Sembang Vaksin Medtweetmy bersama KJ

- Advertisement -

SEJAM setengah sesi sembang vaksin bersama YB Khairy Jamaluddin (KJ) malam tadi begitu bermanfaat sekali. Ianya bukan sembang kari tetapi sembang yang betul-betul membuahkan ilmu untuk dijadikan sebagai panduan kehidupan kita. Banyak isu yang dijawab serta dirungkaikan dengan baik oleh YB KJ. Siapa yang terlepas menontonnya boleh lihat balik di Facebook MedTweeMy [1].

Kami selalu mengingatkan diri kami bahawa seboleh-bolehnya berwacana dalam platform atau suasana yang manfaat dan membuahkan hasil yang positif. Mana-mana platform yang hanya mencari salah dan silap kalau boleh hindarkan diri dahulu. Kerana kita mempunyai agenda yang lebih besar untuk negara. Suara-suara sumbang segelintir pihak yang tidak berpuas hati tidak pun boleh mendatangkan hasil kepada kebajikan negara. Malah ia akan makin melebar-luaskan lagi percanggahan fikiran yang negatif di dalam kalangan rakyat. Akhirnya siapa yang keliru? Rakyat juga!

- Advertisement -

Kita pun tahu terdapat segelintir pihak yang tidak puas hati dengan vaksin dalam negara kita sejak sekian lama. Kita pun ketahui terdapat golongan yang sedemikian itu dan ianya tidak perlu diperbesar-besarkan kerana kefahaman yang mereka bawa adalah kefahaman yang salah. Pemikiran salah itu telah pun berpuluh-puluh kali dijawab oleh Kementerian Kesihatan dan juga badan-badan yang berautoriti. Bahkan majoriti pakar-pakar seluruh dunia dan majoriti doktor-doktor pakar dalam negara kita menyokong dasar pemberian vaksin itu. Jika terdapat seorang dua yang menentang dan cuba memberikan pandangan yang melawan arus perdana, ianya boleh diabaikan. Tidak perlulah bertekak dan berhujah dengan lebih panjang lebar dengan mereka. Masa rugi begitu sahaja. Mereka tetap degil.

Pendapat mereka adalah pendapat yang terpencil atau syaz. Pandangan syaz itu tidak boleh diambil pandangan hukum. Kalau benar mereka telah membawa fakta-fakta yang berilmiah, sudah pasti mereka membuat satu laporan lengkap dan membawanya ke badan-badan autoriti seperti NPRA, Kementerian Kesihatan ataupun MOSTI sendiri. Badan berautoriti ini boleh meneliti dan menilai untuk dijadikan salah satu daripada agenda besar negara. Tetapi sebaliknya tidak, mereka mengambil lorong-lorong kiri untuk menghasut rakyat supaya menolak pengambilan vaksin dalam negara atas dasar emosi dan kepentingan tertentu.

Sepatutnya kita sudah bergerak ke depan. Kita sudah maju ke depan dengan membincangkan berkaitan dengan teknologi genom dan bagaimana untuk mencari kaedah pencegahan atau rawatan yang sebaiknya. Kita bukan lagi berbincang berkaitan dengan sama ada COVID-19 itu wujud atau tidak. Sudah setahun kita bergelumang dengan wabak penyakit tetapi masih lagi minda kita tersadung dengan teori konspirasi dan COVID-19 itu adalah perancangan jahat Bill Gates. Mereka masih lagi berputar-putar dengan isu yang sama setiap kali mengadakan pertemuan dalam platform-platform yang mereka sendiri cipta itu. Ular yang berbelit di tongkat logo WHO pun diulas panjang lebar!

Kita sebenarnya sudah maju terkehadapan membincangkan isu-isu yang lebih besar daripada itu yang melibatkan keselamatan dan keutuhan umah itu sendiri. Para ulamak, cendikiawan dan ahli-ahli perubatan semuanya senada, bahawa pandemik COVID-19 itu perlu diuruskan dengan kemandirian teknologi masa kini. selain daripada kita bertawakal kepada Allah S.W.T.

Syabas kepada YB KJ yang banyak memberikan input informatif di dalam sisi yang telah dijalankan malam tadi. Selayaknya kementerian beliau dilantik sebagai penyelaras vaksin COVID-19 dalam negara.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 1/3/2021

[1]. https://fb.watch/3Xmatv0pib/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -