Salah siapa: Kita, ahli politik atau demokrasi?

- Advertisement -

KITA ini suka nampak silap orang saja. Bila kita tak faham hak sebenar yang dijamin dalam ruang demokrasi yang termaktub, tak pula kita sedar. Asyik kena tipu saja dengan orang-orang yang kita kagum. Kita selalu dibuai retorik yang tak termaktub dalam mana-mana rekod yang ada legitimasi.

Contohnya kita harapkan demokrasi di negara kita ikut selera retorik kita. Ikut US, Europe dan pelbagai lagi. Penuh khayalan yang tak berpijak di bumi yang nyata. Demokrasi di negara kita adalah Demokrasi Raja Berperlembagaan. Dengan sistem pemilihan ‘First Past the Post’ iaitu siapa yang ada nombor Ahli Dewan Legislatif yang cukup, maka pihak tersebut ada kuasa menentukan barisan utama eksekutif. 

- Advertisement -

Bahkan Ahli Dewan bila-bila masa tak terikat pun untuk berpakat dengan sesiapapun selepas telah menang undi di kawasan masing-masing. Soal kritikan setuju atau tidak kebebasan menggabungkan diri (termasuk dengan tindakan melompat selepas menang) ia hanya perbincangan akademik yang tak mengubah apa-apa selagi tiada iltizam politik daripada majoriti rakyat untuk mengubahnya. 

Apapun itulah sistem sedia ada yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Malaysia yang harus kita junjung sebagai warganegara yang memahami Rukun Negara. Bukan salah sekiranya untuk kita ubah, tapi perlukan suara majoriti yang kukuh supaya Perlembagaan boleh diubah. Tapi sayang kita hanya memilih sikap bermain retorik dan kadangnya ada melampau sehingga kelihatan seperti mempermainkan Perlembagaan kita sendiri.

Kita belum ada iltizam politik untuk mengubah kepada pemilihan berasaskan ‘Participatory Democratic’ (penyertaan demokrasi) . Walaupun hakikatnya dalam sebahagian peringkat, ‘penyertaan demokrasi’ telah dijamin, namun kita tak peduli pun. Contohnya ruang penyertaan awam untuk EIA (penilaian impak alam sekitar), SIA (penilaian impak sosial) dan pelbagai lagi. 

Sebenarnya kita tak faham ruang-ruang demokrasi sebenar yang kita ada. Kita anggap ruang demokrasi yang kita ada hanya 5 tahun sekali. Seolah-olah bila sesuatu kuasa eksekutif tertentu telah terbentuk, kita rasa macam dah tak ada kuasa untuk menentukan keputusan dasar-dasar awam dan apa saja keputusan politik yang bakal memberi kesan terhadap kita.

Selama ini pemikiran kita yang tertutup dengan melihat, politik hanya berkaitan dengan aksi-aksi ahli politik. Kita sama ada tertipu atau membiarkan diri ditipu oleh sebahagian ahli politik. Sebenarnya, jika memahami peringkat penyertaan politik demokrasi yang termaktub dalam seluruh undang-undang sedia ada, kita akan jadi orang bebas untuk mempertahankan hak kita sendiri. Ringkas cerita kita belum menggunakan ruang yang telah ada secara optimum.

Mengikut Michael Rush dan Philip Althoff , terdapat 11 peringkat penyertaan politik demokrasi yang menjadi kedudukan kita semua. 

11 peringkat tersebut ialah;

1. Golongan memegang jawatan politik pentadbiran negara.

2. Golongan yang berusaha mendapatkan kuasa daripada pihak pertama.

3. Ahli-ahli aktif organisasi politik.

4. Ahli-ahli pasif organisasi politik.

5. Ahli-ahli aktif organisasi quasi-politik (separuh politik) seperti persatuan pekerja , NGO dan sebagainya.

6. Ahli-ahli pasif organisasi quasi-politik.

7. Mereka yang menyertai perjumpaan awam, tunjuk perasaan dan seumpamanya. 

8. Mereka yang sertai perbincangan politik secara tak rasmi.

9. Mereka yang mempunyai minat secara am terhadap politik.

10. Mereka yang mengundi.

11. Mereka yang tak ambil kisah langsung mengenai politik (Apathetic, Anomic atau Alienated).

Daripada 11 senarai di atas , jika kita memilih untuk tidak menjadi ahli mana-mana parti politik secara langsung, sebenarnya kita boleh memanfaatkan ruang sebagai golongan 5 hingga 8. 

Dalam kategori ini kita boleh menjadi kumpulan pendesak dan kumpulan berkepentingan berdasarkan sesuatu isu yang kita perjuangkan sebagai manifestasi terhadap tuntutan hak-hak yang dijamin bawah Perlembagaan. 

Secara umumnya saya melihat kelompok 5 hingga 8 lebih objektif dalam memperjuangkan sesuatu isu, namun, kelompok ini amatlah minoriti. Kelompok ini kebanyakannya berkualiti tapi tiada kuantiti. 

Manakala kelompok 3 terakhir pula adalah majoriti dan selalu diperkotak-katikkan oleh sebahagian daripada 3 golongan pertama yang terlibat terus dalam persaingan untuk mendapatkan kuasa politik.

Saya suka mengambil sikap refleksi sendiri berbanding bermudah-mudah menyalahkan orang lain termasuk orang politik.

“Most of the great problems we face are caused by politicians creating solutions to problems they created in the first place.”

(Walter E. Williams)

Walaupun kita faham kelicikan permainan orang politik seperti ungkapan di atas. Namun sampai bila kita akan terus ambil sikap menyalahkan golongan tersebut. Kelibat orang politik adalah cerminan terhadap psyche masyarakat kita, yang kita adalah sebahagian daripada masyarakat tersebut. 

Apa yang membezakan secara signifikan bukan soal kita ini mengundi parti mana. Apa yang paling membezakan kita daripada majoriti masyarakat dalam memberi merit adalah bagaimana reaksi kita dalam menghadapi segala cabaran yang membelenggu. Bak kata seorang kawan saya ‘We are also part of the problem or solution’. Saya membalas, ‘Then we choose’. Balasan jawapan saya ini adalah refleksi untuk kita semua. Lu pikir la sendiri yeop!

ZIKRULLAH ISMAIL
Pelajar Sains Kemasyarakatan 
Ahli Aktif Quasi- Politik
Bukit Jambul, Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 1/3/2021

P/s: Ungkapan Walter E. William di atas adalah sebahagian sedutan perkongsian guru Sains Politik saya Dr Faridah Idah sebelum beliau menamatkan kelas petang semalam.

- Advertisement -