Rakyat perlu pertahan kerajaan Perikatan Nasional

JELI: Kelantan sebelum ini lambat menerima tempias pembangunan berbanding negeri-negeri lain tidak dapat dinafikan kerana ada halangan politik.

Situasi yang berlaku itu bukan dalam tempoh singkat malah hampir 30 tahun. Perbezaan politik antara negeri dan pusat menjadi halangan utama.

Namun hambatan yang berlaku tersebut akhirnya terelai juga apabila Kelantan bukan lagi pembangkang seperti yang berlaku sebelum 1 Mac 2020.

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kob berkata, perkembangan politik yang berlaku pada 1 Mac 2020 telah mengubah landskap politik negara dan negeri.

Advertisement

Katanya, sekarang Kelantan disenarai menerima nikmat pembangunan yang lebih besar diurus kerajaan Persekutuan, negeri dan swasta.

“Jadi kalau kerajaan Pusat, negeri dan swasta bergabung maka tidak ada perkara lagi untuk menghalang pembangunan berlaku di Kelantan.

“Mungkin sebelum ini ada halangan sama ada dari negeri atau pusat, sekarang tidak ada lagi sebarang halangan untuk kita sama-sama membangunkan negeri ini,” katanya pada majlis taklimat Rancangan Malaysia Ke-12 di sini kelmarin.

Taklimat berkenaan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed.

Abdullah yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Jeli berkata, rakyat hendaklah turut memain peranan bagi mempertahankan kerajaan Perikanan Nasional (PN) yang sekarang.

Menurutnya 1 Mac ini genap setahun PN mentadbir negara ini dalam suasana rakyat berdepan dengan pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 1/3/2021