Pusat Khidmat sewa lori hantar bekalan air

- Advertisement -

ARAU: Penduduk di kawasan Dun Sanglang dan Guar Sanji yang terputus bekalan air sejak Khamis lepas lega apabila masalah itu mendapat tindakan segera petugas Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR).

PKWR Sanglang dan Guar Sanji dengan kerjasama Syarikat Air Perlis (SAP) membekalkan air ke kawasan yang terputus bekalan air akibat kebocoran paip.

Di Sanglang, sebanyak tiga lori dan dua pacuan empat roda disewa PKWR Dun berkenaan bagi mengagih bekalan air kepada penduduk yang terjejas.

Di Guar Sanji juga tiga lori digerakkan PKWR Dun Guar Sanji bagi membantu kerja-kerja mengagihkan bekalan air kepada penduduk di Pida 2 Sekerat, Semut Gatal, Behor Mentalon, Chemumar dan Permatang Serdang.

- Advertisement -

Kerja-kerja menghantar bekalan air kepada penduduk yang terjejas diadakan semalam. Penduduk yang terjejas membawa bekas untuk mengisi air yang dihantar petugas PKWR.

Adun Sanglang Mohd Shukri Ramli berkata, pelbagai pihak tampil membantu penduduk yang terjejas akibat paip air bocor di beberapa kampung.

Katanya, usaha itu dapat meringankan beban penduduk memadangkan cuaca panas di Perlis sekarang dengan kehadiran kemarau.

“Saya juga bersyukur kerana masalah bekalan air berjaya diselesaikan sepenuhnya menjelang malam tadi.

“Saya mewakili pihak penduduk yang terlibat mengucap ribuan terima kasih kepada SAP yang bertungkus lumus menyelesaikan masalah tersebut dengan membaiki paip yang bocor,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -